Berita Utama

SPRM tahan penjawat awam beri kontrak kepada ahli keluarga

Kontrak bernilai RM36,000 termasuk pembekalan dan pembaikan ICT

KOTA KINABALU, 2 Rejab 1442H, Ahad – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penjawat awam, kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan memberikan beberapa kontrak bernilai kira-kira RM36,000 kepada ahli keluarga.

Lelaki berusia lingkungan 40an itu, telah ditahan jam 12.15 tengah hari di Pejabat SPRM Sabah.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi pemberita, mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, suspek ditahan kerana memberikan beberapa kontrak pembekalan dan pembaikan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta pembekalan makanan yang berjumlah keseluruhan melebihi RM36,000 kepada ahli keluarga.

“Saya kecewa kerana masih terdapat kakitangan awam menggunakan kedudukan untuk kepentingan sendiri, dengan memberikan kontrak kepada ahli keluarga yang mana ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, walaupun ingatan demi ingatan telah diberikan kepada pejawat awam tetapi ia masih berlaku,” katanya.

Sementara itu, Karunanithy mengesahkan, dua lagi individu telah ditahan susulan penahanan empat kakitangan sebuah agensi kerajaan Persekutuan di Sabah, berhubung kesalahan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu beberapa hari lepas.

Katanya, kakitangan dari agensi yang sama berusia 39 dan 41 tahun itu, telah ditahan pada hari ini kira-kira jam 12.00 tengah hari di Pejabat SPRM Sabah atas kesalahan yang sama iaitu Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Kesemua mereka ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan akan dikemukakan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu,” katanya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button