Syiah Houthi rekrut 10,300 kanak-kanak secara paksa
Kanak-kanak didoktrin melalui sistem pendidikan, diajar idea ekstremis

SANA’A, 2 Rejab 1442H, Ahad – Laporan Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean mendedahkan, kumpulan Syiah Houthi telah merekrut sekitar 10,300 kanak-kanak di Yaman secara paksa sejak 2014.
Serentak itu, laporan berkenaan memberi amaran mengenai akibat berbahaya sekiranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terus gagal menangani fenomena ini.
Laporan yang dikeluarkan pada Hari Menentang Penggunaan Askar Kanak-kanak Antarabangsa menyatakan, kumpulan Houthi menggunakan pelbagai cara untuk merekrut kanak-kanak secara paksa dan berperang di kawasan yang dikendalikannya, di Yaman.
Peperangan itu telah mengakibatkan kematian dan kecederaan ratusan kanak-kanak.
Organisasi tersebut mendokumentasikan 111 kanak-kanak terbunuh dalam pertempuran antara Julai dan Ogos 2020 sahaja.
Laporan itu, yang berjudul ‘Militarising Childhood’, menyoroti penggunaan sekolah dan kemudahan pendidikan oleh Houthi, yang dilihat memaksa kanak-kanak melalui sistem pendidikan yang menghasut keganasan.
Selain itu, doktrin ideologi kumpulan diajarkan dalam kuliah khas – membiasakan pelajar dengan idea-idea ekstremis dan mendorong mereka untuk bergabung dalam pertempuran.
Laporan itu juga menunjukkan bahawa selama tiga tahun terakhir, kumpulan Houthi memulakan kempen wajib untuk merekrut kanak-kanak, dan membuka 52 kem latihan untuk menerima ribuan remaja dan anak-anak.
Di samping itu, kumpulan ini melancarkan kempen pengambilan pekerja secara meluas di wilayah Saada, Sana’a, Al Mahwit, Al-Hudaydah, Tihama, Hajjah dan Dhamar, yang menyasarkan kanak-kanak berusia sepuluh tahun ke atas. – Agensi