Berita Utama

Terima Gerakan, PN ibarat dukung biawak hidup

Gerakan perjuang aspirasi rakyat Cina bersama MCA-DAP dengan membelakangkan Perlembagaan

BANGI, 2 Rejab 1442H, Ahad – Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerima Gerakan sebagai parti kompenen hanya dilihat seperti mendukung biawak hidup.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sepatutnya dari awal lagi tidak menerima parti itu, yang sebelum ini dianggap agak celupar membabitkan beberapa isu sensitif.

Bagi ‘membersihkan’ semula PN, pemerhati politik, Ir Muhammad Lukman Al Hakim Mohammad berkata, Perdana Menteri perlu mengambil pendirian tegas membuang Gerakan daripada gabungan itu.

“Mereka adalah gunting dalam lipatan dan ibarat api dalam sekam!

“Ini terbukti dengan pelbagai pendekatan dan pendirian mereka dalam isu sekolah vernakular, tulisan Jawi dan banyak isu-isu sensitif lain.

“Gerakan juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa bangsa Melayu juga merupakan bangsa pendatang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Gerakan mengumumkan secara rasmi diterima menganggotai gabungan Perikatan Nasional.

Parti yang kalah di semua 11 kerusi Parlimen dan 31 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, berjanji mewakili rakyat dalam segala perkara, mengetengahkan kesederhanaan dan memastikan PN sebagai wadah politik baharu negara.

Dalam isu, Ir Lukman melihat PN jelas amat terdesak untuk kelihatan multi-racial atau berbilang kaum apabila menerima permohonan Gerakan bagi menyertai gabungan politik itu.

Katanya, ketika MCA menyertai Barisan Nasional (BN) manakala DAP pula bersama Pakatan Harapan (PH), PN juga berasa bahawa perlunya parti berteraskan bangsa lain untuk menonjolkan imej multi-racial.

“…walaupun mereka amat faham Gerakan amat lemah dan telah ditolak mentah-mentah oleh rakyat Cina apabila gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas,” jelasnya.

PN dianggotai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS, manakala UMNO mengambil pendirian menyokong tetapi tidak sertai sebagai satu komponen.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button