Berita Utama

Tak jamin pemimpin Pejuang tidak ‘melompat’ walau berbaiah al-Quran

Sumpah turut dilakukan di Bersatu, masih ada menjadi pengkhianat

BANGI, 3 Rejab 1442H, Isnin – Tiada jaminan pemimpin dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan melompat parti meskipun sudah berbaiah dengan al-Quran.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau mendakwa, beberapa pemimpin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pernah dianggotainya dahulu pernah melakukan baiah sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Namun begitu, dakwanya lagi, perkara itu tidak menghalang mereka daripada menjadi ‘pengkhianat’.

“Buatlah apa bentuk tapisan sekali pun, akhirnya terpulang kepada individu tersebut nak melompat ke, meninggalkan parti ke, itu semua hak masing-masing sebenarnya.

“Kepimpinan tertinggi parti setiap seorang daripada kami telah berbaiah ataupun angkat sumpah dengan al-Quran untuk berpegang pada prinsip perjuangan parti.

“Itu pun telah dilakukan masa Bersatu dahulu, walaupun begitu masih juga yang khianat, jadi saya tidak boleh nak menjamin sebenarnya. Jaminan 100 peratus itu saya tidak mampu berikan,” katanya dalam temu bual webinar, hari ini.

Sebelum ini, pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendakwa, tindakan Bersatu meninggalkan gabungan kerajaan pada Februari lalu sebagai pengkhianatan.

Keputusan Bersatu untuk keluar dari PH dibuat tidak lama setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tindakan itu menyaksikan Bersatu dibawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan baru dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button