Berita Utama

1MDB: Najib gagal gugur Sri Ram daripada pasukan pendakwaan

Ini kali ke 3 bekas Perdana Menteri itu gagal berbuat demikian

KUALA LUMPUR, 3 Rejab 1442H, Isnin – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini gagal dalam satu lagi cubaannya untuk menggugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas perdana menteri itu.

Ini merupakan cubaan kali ketiga Najib untuk menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa dalam kes jenayah berkaitan 1MDB itu. Sebelum ini, satu permohonan difailkan dalam satu lagi kes 1MDB di hadapan hakim berbeza dan cubaan kedua menerusi prosiding sivil.

Ketika menolak permohonan Ahli Parlimen Pekan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan berkata dakwaan Najib bahawa Sri Ram terlibat dalam siasatan terhadapnya sebagai tidak ada merit.

“Tidak ada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan pemohon dan kekal sebagai hipotesis semata-mata. Isu ini telah disiasat oleh pihak pendakwaan selaku responden semasa permohonan pemohon (Najib) yang terdahulu.

“Isu ini sudah dibincangkan dan diputuskan. Keputusan oleh mahkamah lain sebelum ini kekal dan tidak boleh diterbalikkan,” kata hakim.

Mohamed Zaini ketika memberi alasan penolakan berkata pemohon, antara lain, menjadikan komunikasi di antara bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Sri Ram sebagai bukti berat sebelah Sri Ram terhadap pemohon dan kebimbangan pemohon berhubung perkara itu adalah tidak berasas.

“Seperti juga individu lain, Sri Ram berhak mempunyai pandangan peribadi. Itu sahaja. Namun, pertimbangan berbeza akan dibuat jika beliau menunjukkan sikap berat sebelah semasa melaksanakan tugas sebagai pendakwa raya kanan. Pandangan peribadi beliau tidak boleh dianggap akan menghalang tanggungjawab beliau sebagai pendakwa raya kanan.

“Tambahan pula, kejadian itu, seperti yang dikemukakan oleh responden, berlaku ketika sebelum pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa raya kanan. Turut penting ialah pemohon tidak membuat sebarang aduan mengenai tindak-tanduk Sri Ram ketika menjalankan perbicaraan melibatkan pemohon. Ini mengukuhkan hujah responden bahawa Sri Ram bersikap terbuka semasa menjalankan tugas sebagai pendakwa raya kanan,” kata hakim.

Mohamed Zaini seterusnya berkata pada akhirnya, mahkamah bertanggungjawab memastikan sesebuah perbicaraan dilaksanakan secara adil demi mendapatkan keadilan.

“Mahkamah akan membantu mana-mana pihak yang dilayan secara tidak adil, jika perkara tersebut berlaku. Sehubungan itu, permohonan pemohon ditolak,” katanya.

Perbicaraan kes laporan audit 1MDB itu akan bersambung pada 22 Februari ini.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bertindak bagi pihak pendakwaan, manakala Najib diwakili peguam Nur Syahirah Hanapiah.

Najib, 67, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, 45, dibicarakan atas tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan ke atas laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya, sementara Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan tersebut bagi melindungi Najib daripada dikenakan tindakan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button