Kekang COVID-19, Arab Saudi lanjut sekatan 20 hari lagi
Pihak kesihatan nasihat sambungan sekatan berkuat kuasa malam semalam

RIYADH, 3 Rejab 1442H, Isnin – Dalam usaha mengekang penyebaran virus COVID-19, Arab Saudi melanjutkan tempoh sekatan kepada 20 hari lagi.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan yang dipetik agensi berita rasmi Saudi Press Agency (SPA) berkata, sambungan sekatan itu berkuat kuasa pada jam 10 malam semalam waktu tempatan (3 pagi waktu Malaysia).
Pada 3 Februari lalu, kerajaan mengarahkan langkah pencegahan untuk membendung penyebaran wabak tersebut setelah mendapat saranan dari pihak berkuasa kesihatan
Di bawah langkah-langkah itu, perhimpunan sosial tidak boleh melebihi 20 orang dan penangguhan semua majlis atau pesta, termasuk majlis perkahwinan serta perjumpaan korporat antara lain.
Selain itu, langkah-langkah itu juga memberi kesan kepada panggung wayang, pusat hiburan, pusat membeli-belah, gimnasium dan pusat sukan – yang tetap ditutup – sementara restoran serta kafe hanya boleh menyediakan pesanan luar.
Kementerian berkata, langkah berjaga-jaga perlu dinilai secara berterusan oleh pihak berwajib.
Setakat ini, negara Teluk yang kaya dengan hasil minyak itu melaporkan 372,410 kes COVID-19, termasuk 6,428 kematian. – Agensi