Berita Utama

Lagi kes pemandu lawan arus, kali ini babit 4 kenderaan

Kenderaan dipandu suspek langgar 2 kereta, sebuah motosikal datang dari arah hadapan

BUKIT MERTAJAM, 3 Rejab 1442H, Isnin – Tindakan seorang wanita yang memandu kereta jenis Honda Civic secara melawan arus menyebabkan berlaku kemalangan dengan tiga kenderaan lain di susur Jalan Perusahaan Perai, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 6.30 petang itu, semua mangsa terbabit dalam kemalangan berkenaan termasuk pemandu wanita itu cedera dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis dimaklumkan kejadian itu membabitkan tiga pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal.

Katanya, pekerja swasta berusia 31 tahun itu dikatakan memandu melawan arus dipercayai untuk masuk ke lebuh raya.

“Akibat tindakannya itu, kereta yang dipandunya telah berlanggar dengan Perodua Myvi dan Proton Exora serta sebuah motosikal yang datang dari arah hadapan.

“Bagaimanapun mangsa yang terlibat hanya cedera dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut kes itu dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, insiden itu menjadikan tiga kejadian kenderaan melawan arus dilaporkan berlaku di Pulau Pinang dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan seorang lelaki dirakam menunggang motosikal disyaki curi secara melawan arus di Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE).

Dua minggu sebelum itu, terdapat kejadian sebuah kereta melawan arus kerana cuba mengelak melalui sekatan jalan raya berhampiran Kilometer 2.5 Lebuhraya Lingkaran Luar (LLB) dekat Perai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button