Berita Utama

Malaysia, Arab Saudi bincang kuota haji, umrah tak lama lagi

PM dijangka ke negara itu bagi bincang perkara berkenaan

KUALA LUMPUR, 3 Rejab 1442H, Isnin – Malaysia dan Arab Saudi dijangka mengadakan perbincangan berkenaan kuota haji dan umrah dalam masa terdekat.

Atase Agama Arab Saudi ke Malaysia, Sheikh Abdul Rahman Al-Rubaian berkata kerajaan Penjaga Dua Masjid Suci itu dijangka menerima kunjungan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan perkara berkenaan.

“Perbincangan antara dua negara mengenai kuota haji dan umrah pada tahun ini bakal berlangsung dalam masa terdekat apabila Arab Saudi menerima kunjungan rasmi Perdana Menteri Malaysia serta Menteri Luar Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai Hal Ehwal Agama (Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata Arab Saudi tidak pernah menutup pintu untuk jemaah Malaysia bagi menunaikan ibadah haji dan umrah selepas pembukaan semula sempadan di negara itu, malah menurutnya Arab Saudi sentiasa mengalu-alukan kunjungan rakyat Malaysia.

Katanya Malaysia tidak disenaraikan dalam 20 negara yang dilarang memasuki Arab Saudi buat sementara waktu sebagai langkah mengekang peningkatan jangkitan COVID-19.

Pada 3 Februari lepas, Arab Saudi telah menggantung kemasukan pelawat dari 20 negara, sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak COVID-19, yang terdiri daripada Argentina, Emiriah Arab Bersatu, Jerman, Amerika Syarikat, Indonesia, Itali, Pakistan, United Kingdom, Turki, Sweden, Perancis, Lubnan, Mesir, India, Jepun, Ireland, Brazil, Portugal, Switzerland dan Afrika Selatan.

Sementara itu mengenai pertemuannya dengan pengerusi NGO Antarabangsa Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican, Sheikh Abdul Rahman berkata ia antara lain membincangkan hal berkaitan umrah dan haji rakyat Malaysia, isu pendidikan penuntut Malaysia ke Arab Saudi serta hal berkaitan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Segala syor yang dikemukakan oleh NGO Antarabangsa akan diteliti dan diperhalusi dengan sewajarnya untuk perhatian pihak Arab Saudi,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button