Berita Utama

MCMC sekat laman web Sugarbook?

Tinjauan dapati laman web berkenaan tidak lagi boleh diakses

BANGI, 3 Rejab 1442H, Isnin – Laman web Sugarbook yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini dipercayai sudah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Berdasarkan tinjauan Ismaweb.net hari ini mendapati, laman web yang mendapat kritikan hebat ramai pihak itu tidak lagi boleh diakses.

“Akses kepada laman sesawang ini dihalang di bawah Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana melanggar undang-undang Malaysia di bawah:

“Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. Melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” antara makluman yang tertera dalam laman web yang sudah disekat itu.

Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad mendedahkan, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan MCMC berhubung isu yang menjejaskan nama baik universiti dan pelajar di negara ini.

“Kedua-dua pihak telah bersetuju beberapa tindakan yang boleh diambil bagi menangani isu ini.

“KPT dan SKMM juga sepakat untuk terus menjalinkan kerjasama pada masa akan datang dalam memberikan kesedaran dan kefahaman kepada pelajar berkenaan isu-isu sosial dan keselamatan siber,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan, Malaysia diletakkan berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia selepas India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook, yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan dari sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), berhubung mahasiswa di Lembah Klang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral untuk mencari ‘sugar daddy’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan telah dibuka berkenaan kes itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan.

Susulan itu, MCMC juga telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan bahawa ramai wanita Malaysia terutama penuntut universiti menawarkan diri sebagai ‘sugar baby’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button