Menteri MOSTI mahu MCMC sekat Sugarbook.com segera
Sugarbook langgar perundangan, subur aktiviti pelacuran

BANGI, 3 Rejab 1442H, Isnin – Laman web dan aplikasi, Sugarbook.com yang menyuburkan aktiviti pelacuran – jelas melanggar undang-undang negara – perlu disekat dengan kadar segera.
Susulan itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim menggesa, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 211, Akta Komunikasi Multimedia 1998 iaitu larangan terhadap pemberian kandungan jelik dan akta membabitkan kesalahan seksual mengikut Seksyen 372, 372A, 372B Kanun Keseksaan.
Oleh kerana pihak kerajaan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjalankan langkah proaktif selama ini untuk menyekat laman pornografi, beliau berharap tindakan yang sama dapat diambil dengan kadar segera, iaitu menyekat domain Sugarbook.com.
“Namun pihak Sugarbook.com mungkin akan mendaftar atas nama domain lain untuk terus dapat dicapai oleh pengguna Malaysia.
“Oleh itu, pihak SKMM diharap dapat terus memantau dan menyekat lain-lain domain yang bakal digunakan untuk membolosi sekatan di semua laluan pintu masuk internet Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Merujuk kepada kes melibatkan aktiviti persundalan pada 2018, Ahmad Amzad berkata, mereka yang terlibat menjadi orang tengah dan hidup atas hasil persundalan, yang dijalankan melalui aplikasi WeChat telah dihukum penjara dan menerima sebatan bersabit Akta Kanun Keseksaan Seksyen 372(1) dan 372A(1).
“Oleh itu, diharap siasatan menyeluruh, sekatan domain dan tindakan undang-undang dapat diambil untuk menghentikan operasi ini yang jelas melanggar undang-undang negara.
“Adalah juga diharap forensik komputer dapat dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat Sugardaddy dari pangkalan data mereka, agar tindakan undang-undang dapat diambil.
“…kepada pelanggan yang menggunakan aplikasi ini untuk meminta perkhidmatan pelacuran, yang bersabit kesalahan Seksyen 372B Kanun Keseksaan,” katanya.
Baru-baru ini, Malaysia dilapor berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia, selepas India dan Indonesia bagi negara mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook, yang menyediakan platform mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.
Lebih mengejutkan ramai pihak apabila Sugarbook melaporkan peningkatan 40 peratus pelajar universiti mendaftar untuk menjadi ‘sugar baby’ sejak Januari, kononnya atas alasan krisis kewangan yang dialami.
Platform itu turut mendedahkan senarai ‘top 10’ universiti ‘sugar baby’ di Malaysia, termasuk dua universiti awam, membabitkan 12,705 pelajar.