Berita Utama

Perintah darurat sekarang tidak sah: Tun M

'Kerajaan melakukan bermacam-macam kesalahan tetapi mahkamah tidak dibenar menilai'

BANGI, 3 Rejab 1442H, Isnin – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa perintah darurat ketika ini tidak sah.

Ini bermakna, dakwanya, apa sahaja tindakan kerajaan ketika tidak boleh diguna pakai.

“Perisytiharan darurat itu sendiri tidak mengikut undang-undang. Perlembagaan berkehendak warta kerajaan pengisytiharan darurat dikemuka kepada Parlimen. Tetapi syarat ini tidak dihirau.

“Oleh itu darurat ini tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan. Ini bermakna semua tindakan kerajaan tidak sah. Inilah keadaan dalam negara sekarang.

“Kerajaan melakukan bermacam-macam kesalahan tetapi mahkamah tidak dibenar menilai sama ada tindakan dan perlakuan oleh kerajaan halal atau haram dari segi undang-undang,” katanya seperti dipetik Astro Awani, hari ini.

Dakwa, Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, ada pihak akan menghalalkan segala tindak-tanduk dilakukan oleh kerajaan pada ketika ini.

“Mereka mempunyai sebab peribadi kenapa sokong perlakuan yang salah dari segi undang-undang ini.

“Inilah kerajaan Malaysia sekarang. Amat malang kerana segala saluran untuk rakyat menyata yang benar, iaitu kerajaan ini tidak sah dari segi Perlembagaan negara terkunci tutup.

“Ia kerana pemerintahan mengikut undang-undang, the rule of law sudah tidak ada,” dakwanya lagi.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Seri Paduka turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button