Berita Utama

Pos Malaysia perkenal platform insurans dalam talian

Bolehkan pelanggan perbaharui insurans kenderaan pada bila-bila masa

KUALA LUMPUR, 3 Rejab 1442H, Isnin – Pos Malaysia Bhd telah memperkenalkan platform insurans dalam talian baharu yang membolehkan para pelanggan memperbaharui insurans kenderaan bermotor mereka pada bila-bila masa menerusi aplikasi mudah alih Pos Malaysia.

Pelanggan hanya perlu memberikan nombor MyKad, nombor pendaftaran kereta dan maklumat lain yang diperlukan untuk mendapatkan sebut harga insurans masing-masing dan mereka akan menerima polisi insurans melalui emel selepas pembayaran diselesaikan secara dalam talian, katanya dalam satu kenyataan.

Ketua pengurusan saluran dan pengalaman pelanggan Kumpulan Azmil Merican berkata Pos Malaysia kini giat memodenkan perkhidmatan runcitnya menerusi pendigitalan, menjadikan transaksi tersedia secara dalam talian serta di kaunter.

Bergerak ke hadapan pula, pelanggan juga bakal melihat lebih banyak perkhidmatan daripada aplikasi mudah alih Pos Malaysia termasuk pembiayaan, wasiat, pengiriman wang dan lain-lain.

Pos Malaysia berkata memandangkan lebih ramai pengguna kini memilih perkhidmatan dalam talian menerusi antaranya platform e-dagang, sistem pembayaran tanpa tunai dan sokongan pelanggan automasi, pendigitalan dan inovasi akan diterima sebagai sebahagian daripada ekosistem digital pelanggan dan rantaian nilai perniagaan.

Aplikasi mudah alih Pos Malaysia boleh dimuat turun daripada Google Play Store (Android), Apple App Store (iOS) dan Huawei AppGallery sementara untuk pengguna sedia ada, mereka perlu mengemaskini versi terkini Pos Mobile App untuk mula menggunakan perkhidmatan e-insurans.

Sehingga kini, Pos Malaysia mempunyai hampir 400,000 pengguna aktif di kedua-dua platform Android dan iOS yang melakukan transaksi melalui aplikasi mudah alih. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button