Berita UtamaDunia

Palestin terima cukai pendapatan ‘disekat’ lebih AS$1 bilion

PA sebelum ini terpaksa potong gaji penjawat awam kerana krisis kewangan

RAMALLAH, 17 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Pihak Berkuasa Palestin (PA) menerima lebih AS$1 bilion – cukai pendapatan yang disekat – oleh negara haram Israel.

Dalam satu kenyataan di laman Twitter semalam, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Hussien Al-Sheikh mengesahkan perkara itu dan berkata, wang yang diterima adalah yang pertama sejak bulan Jun.

Mei lalu, PA telah berhenti menerima cukai pendapatan, yang telah dikumpul oleh Israel atas nama mereka.

Perkara itu berlaku setelah Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengumumkan untuk menghentikan semua perjanjian bersama Israel, sebagai tindak balas terhadap rancangan rejim Zionis meluaskan jajahan di Tebing Barat yang diduduki.

Keadaan itu memaksa PA meminjam wang daripada bank tempatan bagi membayar gaji pekerjanya.

Bagaimanapun, PA baru-baru ini bertindak menyambung semula hubungan dengan Israel setelah negara haram itu menangguhkan rancangan jahat merampas kawasan yang didudukinya.

Sementara itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh pada Isnin menegaskan bahawa rakyat negara itu berhak ke atas dana berkenaan, yang diharap dapat membantu meringankan krisis ekonomi Palestin.

“Kerajaan akan mengambil semua ‘hutang’ itu. Mereka telah bersabar selama berbulan-bulan dan hanya tinggal sedikit masa sahaja lagi untuk menjelaskan semuanya (membayar gaji pekerja), “ katanya.

PA terpaksa memotong gaji penjawat awam ketika kehilangan pendapatan itu di tengah-tengah negara itu bergelut dengan krisis ekonomi dan wabak pandemik COVID-19. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button