Waspada manipulasi sentimen kaum ahli politik: PM
Ia cabaran utama negara mempunyai rakyat berbilang kaum

KUALA LUMPUR, 3 Rejab 1442H, Isnin – Rakyat Malaysia harus berwaspada terhadap manipulasi sentimen kaum oleh ahli-ahli politik, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bercakap pada majlis pelancaran secara maya Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 hari ini, perdana menteri berkata ia merupakan cabaran utama dalam hampir semua negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum.
“Pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum hendaklah kita elakkan,” katanya pada majlis yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Perpaduan Negara.
Beliau berkata kerajaan sedar, rakyat Malaysia tidak akan sekali-kali mengorbankan kesepaduan sosial dan perpaduan negara yang telah dikecapi selama ini demi matlamat peribadi.
“Kerajaan juga tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan negara. Berpegang kepada prinsip inilah Kementerian Perpaduan Negara telah diwujudkan bagi menggalas tugas berat memastikan agenda perpaduan nasional dijayakan,” katanya. – Bernama