Berita Utama

MCA ibarat diberi betis nak paha desak bina lebih banyak sekolah Cina

Di bawah peruntukan mana kerajaan bertanggungjawab bagi peruntukan khas?

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 4 Rejab 1442H, Selasa – Parti berasaskan perkauman MCA ibarat diberi betis nak paha selepas mendesak kerajaan untuk bersetuju membina lebih banyak sekolah Cina di kawasan perumahan baharu.

Sebelum ini, Setiausaha MCA Bahagian Rasah, Ng Kian Nam memuji Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon atas peruntukan bagi penyelenggaraan dan pembaikan 16 Sekolah Menengah Cina, yang tepat pada masanya sebelum Tahun Baru Cina.

Susulan itu, Ng turut menggesa kerajaan untuk bersetuju membina lebih banyak sekolah Cina di kawasan perumahan baru.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, gesaan pemimpin MCA itu ibarat diberi betis nak paha.

“Demikian peribahasa yang tepat dengan gesaan Ng Kian Nam agar kerajaan membina lebih banyak sekolah Cina, setelah Kementerian Pendidikan memberikan peruntukan untuk penyelenggaraan.

“Ng Kian Nam perlu menjelaskan di bawah peruntukan manakah dasar negara – sama ada Perlembagaan mahupun Akta Pendidikan – kerajaan bertanggungjawab membina sekolah Cina dan menyediakan peruntukan khas, selain hanya ihsan kerajaan yang sebahagiannya atas pertimbangan politik,” katanya, ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dalam pada itu, beliau dengan nada sinis berkata, MCA sebagai parti yang sejumlah ahlinya merupakan jutawan patut berusaha mengeluarkan peruntukan penyelenggaraan untuk sekolah Cina.

“Demikian juga jika MCA hendak mendirikan lebih banyak sekolah Cina, alangkah lebih munasabah parti itu yang mengusahakannya daripada menggesa atau mendesak kerajaan yang sebenarnya tidak ada kewajiban memenuhi tuntutan itu,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon mengagihkan RM100,000 kepada setiap 16 buah sekolah menengah itu menjadikan ia berjumlah RM1.6 juta.

Peruntukan berkenaan adalah sebahagian daripada RM800 juta yang diperuntukkan untuk penyelenggaraan institusi yang berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Ng memuji Mah kerana menunaikan janjinya untuk memberikan peruntukan kewangan kepada sekolah-sekolah berkenaan, sambil menambah bahawa Mah juga berjanji akan terus membantu sekolah menyelesaikan masalah lain seperti isu kekurangan guru.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button