Berita Utama

Ahmad Ruzman CEO THTS baharu

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam Kumpulan TH

KUALA LUMPUR, 4 Rejab 1442H, Selasa – Lembaga Tabung Haji (TH) melantik Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel and Services Sdn Bhd (THTS).

Dalam satu siaran akhbar, anak syarikat TH itu berkata, pelantikan berkenaan telah berkuat kuasa sejak 4 Januari lalu, namun baru sahaja diumumkan semalam.

Jelasnya, pelantikan tersebut selaras dengan usaha TH dalam memantapkan kepemimpinan organisasi tersebut.

“Ahmad Ruzman yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc) dalam bidang Pengurusan Operasi dari Universiti Northern Illinois, Amerika Syarikat, berpengalaman lebih 30 tahun dalam Kumpulan TH,” katanya.

“Kerjaya beliau di THTS bermula pada tahun 1988 sebagai Pengurus Penerbangan sehingga menyandang jawatan sebagai Pengurus Besar Kanan (Operasi).

“Pada tahun 2004, beliau telah dipinjamkan ke TH dan seterusnya diserap sebagai kakitangan tetap sehingga menyandang jawatan terakhir sebagai Pengurus Besar (Operasi Domestik) TH sehingga akhir tahun 2020,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Ruzman meluahkan rasa syukur dengan amanah yang diberikan dan mengucapkan terima kasih atas kepercayaan TH kepada beliau untuk menerajui THTS yang telah terbukti cemerlang dalam memberikan perkhidmatan kepada Jemaah Haji dan Umrah serta aktiviti pelancongan dalam dan luar negara.

“Saya berterima kasih atas kepercayaan ini walaupun industri pelancongan sedang berhadapan dengan ketidaktentuan untuk kembali pulih seperti keadaan sebelum COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia.

“Namun saya akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan kelangsungan THTS serta kesiapsiagaannya untuk menghadapi pelbagai cabaran lagi pada masa akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button