Berita Utama

Apa agenda ummah PAS boleh harapkan dari Gerakan?

Sudahlah ditolak kaum Cina, kecundang di semua kerusi pada PRU14

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 4 Rejab 1442H, Selasa – Apakah agenda ummah yang boleh PAS harapkan daripada Gerakan, sekiranya memberi laluan kepada parti itu bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Ini kerana, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) melihat reputasi Gerakan lebih teruk daripada bekas rakan komponennya, MCA – bahkan tidak mampu untuk memperkukuhkan kerajaan PAS di Kelantan. 

Bukan hanya sudah ditolak oleh kaum Cina, Gerakan juga ‘kecundang’ di 11 kerusi Parlimen dan 31 DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kata Ketua Penerangan BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim.

Beliau percaya, Gerakan – yang baharu sahaja diterima masuk sebagai komponen Perikatan Nasional (PN) – sedang mencari kawasan untuk bertanding pada PRU15, dan menyasarkan kawasan majoriti Melayu setelah yakin pengundi Cina menolak mereka.

“Bagi BERJASA, matlamat untuk menang PRU adalah hendak berkuasa, maka dengan kuasa yang ada dapatlah memperkasakan agenda ummah.

“PAS mesti jelas dengan perjuangan mereka. Pemimpin PAS tidak boleh menundukkan ahlinya dengan alasan bahawa mereka berfikir berlapis-lapis,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Gerakan Kelantan menuntut PAS menyerahkan DUN Kota Lama kepada parti itu untuk ditandingi dalam PRU15.

Tuntutan itu dibuat Pembantu Setiausaha Gerakan Kelantan, Gan Thuan Bun baru-baru ini, selepas mendakwa PAS sudah lama mempertahankan kerusi itu sedangkan majoriti pengundi DUN Kota Lama adalah masyarakat Cina.

Tindakan Gan itu dibuat beberapa hari selepas Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob menerima kemasukan Gerakan di dalam PN, dan menyifatkan penyertaan parti terbabit mampu memperkukuhkan lagi perpaduan masyarakat di negara ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Zamani menasihatkan PAS supaya tidak berpegang kepada prinsipnya sebelum ini, iaitu ‘asal bukan DAP’.

“Sedangkan agenda Gerakan adalah sama dengan DAP, bahkan keceluparan Gerakan juga tiada beza dengan DAP.

“Oleh itu, PAS tidak usah bersandar kepada pandangan berlapis-lapis seperti isu sokong calon MCA di Tanjung Piai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button