Dakwaan langgar SOP: Perlu siasat, jangan ada layanan dua darjat
Henti buat spekulasi, Annuar Musa sedia beri kerjasama kepada polis

KUALA LUMPUR, 4 Rejab 1442H, Selasa – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sedia memberi kerjasama kepada pihak polis susulan dakwaan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menghadiri satu jamuan baru-baru ini.
“Ia (siasatan) harus berjalan, jangan ada layanan dua darjat, kalau ada aduan perlulah disiasat dan dapatkan apa yang sebenarnya berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan bantuan di Chow Kit di sini hari ini.
Katanya, beliau difahamkan polis telah memanggil pihak penganjur majlis berkenaan untuk memberi keterangan serta membantu siasatan berhubung perkara itu.
Sehubungan itu, beliau turut meminta masyarakat menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa serta berhenti membuat spekulasi.
Sebelum ini tular di media sosial gambar Annuar bersama beberapa individu duduk di meja sambil menikmati jamuan tanpa penjarakan fizikal di sebuah majlis, Sabtu lepas.