Berita UtamaDunia

Israel sekat hantaran vaksin COVID-19 ke Gaza

Rejim Zionis ketepikan rakyat Palestin dari program inokulasi

RAMALLAH, 4 Rejab 1442H, Selasa – Pihak berkuasa negara haram Israel menghalang penghantaran 2,000 dos vaksin Sputnik V Russia dari Tebing Barat ke Gaza, semalam.

Pegawai Israel berkata, permintaan Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk menghantar 2,000 dos vaksin itu ‘masih diperiksa’ dan ‘persetujuan untuk dihantar ke Gaza belum diluluskan’.

Agensi yang ditugaskan untuk meluluskan pemindahan itu adalah Majlis Keselamatan Negara Israel – yang merupakan sebahagian dari kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, kata pegawai itu.

Pejabat Netanyahu tidak segera memberikan komen.

Pegawai PA berkata, mereka telah mengemukakan permintaan pemindahan kepada pihak berkuasa pertahanan Israel segera setelah menerima pengiriman awal 10,000 dos Russia di Tebing Barat pada 4 Februari lalu.

“Hari ini, 2,000 dos vaksin Sputnik V Russia dipindahkan untuk memasuki Semenanjung Gaza, tetapi pihak berkuasa menghalang kemasukannya,” kata Menteri Kesihatan PA, Mai Alkaila dalam satu kenyataan.

“Dos ini untuk kakitangan perubatan yang bekerja di bilik rawatan intensif yang ditetapkan untuk pesakit COVID-19, dan untuk staf yang bekerja di jabatan kecemasan,” katanya.

Penghantaran vaksin dikembalikan ke Ramallah kerana perlu disimpan dalam suhu sejuk, kata pegawai Palestin itu.

Palestin dan kumpulan hak asasi mendakwa Israel mengabaikan tugasnya sebagai kuasa penjajah dengan tidak memasukkan penduduk Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dalam program inokulasi mereka.

Bagaimanapun dakwaan itu dibidas pegawai Israel yang berkata, di bawah perjanjian damai Oslo, Kementerian Kesihatan Palestin bertanggungjawab untuk memberi vaksin kepada rakyat di Gaza dan bahagian Tebing Barat – di mana PA mempunyai pemerintahan sendiri yang terhad.

PA mula memberi vaksin kepada pekerja kesihatan di Tebing Barat pada 2 Februari, setelah menerima pengiriman kecil vaksin Moderna Inc dari Israel. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button