Berita Utama

Isu ijazah, jurnal palsu masih berleluasa dalam Malaysia

Masih tiada tindakan tegas dari Kementerian Pendidikan Tinggi?

BANGI, 4 Rejab 1442H, Selasa – Isu ijazah pendidikan dan penerbitan jurnal palsu sudah berleluasa dalam negara sejak sekian lama, seolah-olah tiada tindakan tuntas daripada pihak berwajib.

Lebih membimbangkan apabila ada laporan menyatakan Malaysia berada di kedudukan kelima daripada 20 negara paling aktif menerbitkan jurnal palsu (predatory journals).

Memetik Malaysia Now, negara kita termasuk dalam senarai 20 teratas jurnal palsu dalam tiga bidang: sains kesihatan, sains fizikal dan sains sosial, mendapat tempat kedua dalam sains fizikal dan sains sosial.

Pendedahan ini berdasarkan hasil kerja dua ahli ekonomi dari Czech Republic, Vít Macháček dan Martin Srholec yang menghasilkan analisis berdasarkan negara tentang jurnal dipersoalkan ditemui di Scopus antara 2015 hingga 2017.

Bimbang isu ini menjadi lebih parah, Presiden Persatuan Pembina Islam Nasional (PEMBINA), Wafiq Azman menggesa pihak berkuasa khususnya Kementerian Pengajian Tinggi untuk lebih bertegas dalam menangani sindiket palsu. 

Ini kerana ia memberi kesan kepada imej dan kredibiliti kajian akademik di peringkat antarabangsa, katanya. 

Pun begitu, pada tahun-tahun sebelum ini, negara kita juga dikecohkan dengan menteri yang ‘kantoi’ menggunakan Sijil Ijazah palsu sehingga mendapat kecaman masyarakat yang menyoal kredibiliti semua ijazah menteri. 

“Verity Intelligence Sdn Bhd – sebuah firma pengesahan penipuan dalam pekerjaan memberitahu bahawa mereka mengesan sebanyak 30-40 kes pemalsuan sijil akademik dalam tempoh sebulan yang mana secara keseluruhan sekurang-kurangnya 400 sijil palsu melibatkan peringkat diploma dan ijazah berjaya dikesan bagi tahun 2018. 

“Ada juga laman web yang menjual sijil akademik palsu dengan harga serendah RM2,000 hingga RM8,000.

“Pun begitu, tidak pasti, sejauh mana isu sijil palsu telah diambil tindakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut memetik laporan akhbar MStar bertarikh 6 Februari 2017 yang menyatakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket atau dalang yang bertanggungjawab menjual sijil akademik palsu di negara ini. 

“Cuma agak kurang meyakinkan kerana menggunakan perkataan ‘akan’. 

“Oleh itu saya mengharapkan tindakan tegas dan serius daripada pihak autoriti khususnya Kementerian Pengajian Tinggi dalam sindiket ini.

“Kerana ia akan memberi kesan kepada imej dan kredibiliti kajian akademik negara ini di peringkat antarabangsa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button