Berita Utama

Isu sampah ‘terbang’ kritikal di hostel pekerja asing

Cadang operasi bersepadu bersama imigresen dan DBKL

KUALA LUMPUR, 4 Rejab 1442H, Selasa – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bercadang merangka operasi bersepadu bersama pihak imigresen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di lokasi hotspot yang dikenal pasti terbabit isu sampah ‘terbang’.

Pengarahnya, Mohd Zahir Shari berkata, lokasi berkenaan adalah termasuk di lorong di Jalan Baba, Pudu.

Zahir menyifatkan bahawa isu sampah ‘terbang’ itu lebih kritikal di kawasan rumah kedai yang dijadikan penempatan atau hostel untuk pekerja asing berbanding pangsapuri.

Sebagai contoh, katanya, kebanyakan individu yang membuang sampah di Jalan Baba adalah warga asing yang tinggal di hostel di atas rumah kedai kawasan berkenaan.

“Jadi kita sedang aturkan penglibatan imigresen bagi penguatkuasaan terhadap warga asing dan DBKL untuk kompaun.

“Pihak SWCorp tidak boleh mengeluarkan sebarang kompaun secara terus, kita akan gunakan peruntukan bersesuaian,” katanya seperti dilapor  Sinar Harian

Beliau berkata, kempen kesedaran Hentikan Sampah Terbang telah dilaksanakan secara berterusan menerusi edaran risalah dan poster pelbagai bahasa asing dari pintu ke pintu bagi tujuan mengatasi masalah itu.

“Dari segi penglibatan bersama komuniti dan makluman diteruskan dari masa ke masa, kita tak boleh hentikan kempen itu.

“Pada masa sama, kerja pembersihan dilakukan dan cuba diselesaikan sebelum jam 8 pagi bagi mengelak kawasan itu dalam keadaan tidak terurus,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button