Berita Utama

Tindakan serta-merta terhadap peniaga naikkan harga gula

Tiada kompromi terhadap peniaga yang ambil kesempatan terhadap penjualan barangan kawalan

GUA MUSANG, 25 Zulkaedah 1444H, Rabu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran bahawa tindakan serta-merta akan diambil terhadap peniaga yang menjual gula secara bersyarat serta menaikkan harga barang jualan sempena sambutan Aidiladha akan datang.

Pengarah KPDN, Kelantan Azman Ismail berkata gula adalah antara barang kawalan kerajaan dan harga siling yang ditetapkan bagi satu kilogram gula ialah RM2.85.

Beliau menegaskan pihak KPDN Kelantan tidak akan berkompromi dengan peniaga yang mengambil kesempatan terhadap penjualan barangan kawalan, malah pemantauan juga telah dilaksanakan bagi mengesan kesalahan berkenaan.

“Kalau kita dapati ada yang menjual lebih daripada harga kawalan kita akan ambil tindakan serta-merta kerana kita sudah beri amaran banyak kali, kalau masih lagi berlaku kita akan ambil tindakan. Peniaga juga diingatkan untuk memastikan bekalan gula tidak terputus.

“Jadi saya mengharapkan supaya peniaga-peniaga tolong sama-sama bantu rakyat dengan tidak mengambil kesempatan dalam keadaan terdesak terutamanya pada musim Hari Raya Aidiladha,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Rahmah Parlimen Gua Musang di Dataran Kesedar, Bandar Baru, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata sehingga hari ini, sebanyak dua kes dilaporkan di daerah Pasir Mas yang menjual gula melebihi harga kawalan iaitu pada harga RM3 sekilogram.

Menurutnya, antara usaha kerajaan mengawal harga jualan adalah dengan mewujudkan skim untuk barang-barang kawalan setiap kali musim perayaan.

“Kita bimbang pengusaha akan mengambil kesempatan apabila permintaan barangan tinggi, namun tindakan tegas akan diambil bagi memastikan pengguna tidak menerima kesan dengan kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button