Dunia

Netanyahu ugut ‘hancurkan’ Hizbullah jika perangi Tel Aviv

Ancam ulang sejarah 2006 dengan kekuatan tak dapat dibayangkan

BAITULMAQDIS, 8 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengancam akan mengulangi sejarah konflik Israel-Lubnan pada Julai 2006, sekiranya kumpulan Hizbullah menyertai perang dengan Tel Aviv.

Pejabat Perdana Menteri Israel dalam kenyataan mendakwa, pihaknya melancarkan dua peperangan untuk menghentikan ancaman di utara dan menghapuskan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Netanyahu mendakwa, jika Hizbullah berperang dengan Tel Aviv, kumpulan yang disokong Iran itu akan ‘merindui’ konflik Julai 2006 antara Lubnan dan Israel.

“Hizbullah akan membuat kesilapan dalam hidupnya dan Israel akan menyerang mereka dengan kekuatan yang tidak dapat dibayangkan,” katanya.

Netanyahu turut memberi amaran akan ‘menghancurkan’ Lubnan, bahkan menegaskan Israel sudah bersedia untuk berdepan sebarang situasi.

Ketegangan semakin memuncak di sepanjang sempadan Israel-Lubnan di tengah-tengah pertempuran antara tentera Israel dan Hizbullah.

Peningkatan itu berlaku tatkala rejim Israel secara agresif melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza berikutan Perang Taufan Al-Aqsa yang bermula pada 7 Oktober lalu oleh Hamas.

Pertempuran sempadan adalah yang dahsyat sejak Hizbullah dan Israel berperang besar-besaran pada 2006, apabila kumpulan Lubnan menyerang bandar-bandar utama Israel dengan roket sehingga menyebabkan kerosakan ketara.

Lebih 1,000 rakyat Lubnan terbunuh dalam perang itu, manakala sebahagian besar selatan Lubnan – kubu kuat Hizbullah – musnah akibat serangan Israel. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button