Artikel Khas

Siapa di sebalik Sugarbook?

Perkasakan kelompongan Seksyen 372B Kanun Keseksaan

SUGARBOOK merupakan sebuah perniagaan yang dipelopori oleh golongan kapitalis Cina dan hal ini terbukti apabila pengasasnya sendiri telah mendedahkan bahawa Sugarbook merancang mencari dana untuk meluaskan jaringan dan keuntungan.

Tambahan, Darren Chan juga menyatakan di dalam sebuah temu bual bahawa sememangnya sedang bekerja rapat dengan pelabur dari Hong Kong bagi menyusun strategi keuntungan masa depan.

Latar belakang pelabur terdiri daripada Mindworks Ventures, salah satu firma modal teroka terbesar di Hong Kong manakala lembaga penasihat merupakan bekas Pengarah Eksekutif Goldman Sachs dan Pengarah Nomura Investment Bank. Sugarbook secara aktif mencari dana untuk berkembang ke seluruh Asia ke kota-kota seperti Hong Kong, Bangkok, Tokyo dan China.

‘Sugar daddy’ terdiri dalam kalangan ahli politik

Di Malaysia, data yang dikeluarkan daripada global marketing and analytics firm, App Annie, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia telah membelanjakan sejumlah yang tinggi iaitu RM 24 juta untuk aplikasi janji temu secara dalam talian pada tahun 2019.

Selain itu, penyelidikan daripada laman YouGov melaporkan pada  tahun 2017, menunjukkan bahawa tiga daripada 10 rakyat Malaysia aktif menggunakan aplikasi temu janji dalam talian. Golongan majoriti Sugar Daddy ini  merupakan golongan ahli perniagaan, peguam dan pegawai bank termasuklah ahli politik. Hal ini dapat dilihat menerusi kenyataan daripada Darren Chan iaitu:

“We’ve received requests from prominent people such as businessmen, lawyers, bankers and politicians for this. Having a Diamond membership elevates their status on Sugarbook as Sugar Babies can instantly see it on their profiles, and the price point isn’t a problem as they should be able to afford it if they’re Sugar Daddies,”

Media lain turut melaporkan antara golongan yang melanggan aplikasi ini juga adalah  daripada mereka yang berkerjaya seperti doktor, jurutera dan pelabur. Sugarbook memiliki lebih dari 400,000 anggota aktif yang terdiri dari 220,000 sugar babies, 180,000 sugar daddies, dan 6,000 sugar mummies di Malaysia.

Berdasarkan laporan, seramai 12,705 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Lembah Klang berdaftar dengan aplikasi ‘Sugarbook’ untuk mencari ‘sugar daddy’. Malaysia dengan 42,500 ‘sugar daddy’ berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara Asia selepas India iaitu seramai 338,00 ‘sugar daddy’ dan Indonesia dengan 60,250 orang.

Pelajar universiti yang terlibat pula terdiri daripada pelbagai universiti dan latar belakang bidang pengajian. Peningkatan bilangan pengguna aplikasi ini yang juga turut meningkat di negara-negara lain menimbulkan persoalan adakah ia adalah sebuah agenda jahat golongan elit di sebalik sugarbook untuk meruntuhkan status quo institusi kekeluargan di negara ini?

Tiada akta yang boleh mendakwa aktiviti ‘sugaring’?

Kelompongan undang-undang dapat dilihat menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menyatakan bahawa perkhidmatan atau aplikasi atas talian sendiri bukanlah menjadi suatu kesalahan. Disebabkan itu tidak pelik apabila Darren Chan berani mengatakan bahawa sugar baby ini bukanlah pekerja seks yang menyalahi undang-undang. Jika kita melihat dalam konteks Kanun Keseksaan, seksyen 372 hanya melarang aktiviti pelacuran tanpa menekankan isu perkhidmatan pasangan yang menawarkan hubungan seks antara pasangan.

Walaubagaimanapun, kesalahan membenarkan kandungan yang tidak sesuai boleh didakwa di atas akta ini. Berdasarkan fakta ini, masyarakat boleh mendakwa kandungan yang ada di dalam laman sesawang SugarBook ini sebagai suatu kandungan yang tidak sesuai, namun tidak boleh mendakwa pengasas laman web ini melakukan sebuah kesalahan di atas nama laman web tersebut.

Walaupun tiada undang-undang yang dapat mensabitkan laman web Sugar baby ini sebagai sebuah kesalahan, tetapi undang-undang yang sedia ada patut dikemas kini sebagai langkah pencegahan supaya perkara ini dapat dibendung sebelum bertambah buruk. Antara cadangan dalam memperkukuh undang-undang dalam membendung gejala ini adalah :

1.  Melihat semula kelompongan seksyen 372B Kanun Keseksaan dengan meletakkan sebuah hukuman terhadap lelaki yang menawarkan ganjaran terhadap khidmat pelacuran.

2.  Selain itu, pindaan seksyen 375(f) yang telah dibangkitkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 2006 perlu disemak semula dengan menambah baik cadangan yang ada dengan meluaskan skop definisi ‘aggravated rape’ iaitu jenis rogol yang melampau supaya isu ini dapat ditimbang semula melalui neraca ‘aggravated rape’.

3. Undang-undang juga perlu diperketat atas dasar keselamatan siber untuk kanak-kanak di bawah umur di mana kemungkinan untuk mereka mendaftar laman web ini dengan menggunakan akaun palsu dan mengundang kepada bahaya yang lebih besar.

Mengapa mahasiswa terlibat dengan ‘sugaring’?

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti sugar baby. Faktor pertama ialah faktor dalaman iaitu kemahuan diri untuk memiliki gaya hidup yang mewah.

Hal ini terbukti apabila sugar daddy yang ada adalah daripada golongan-golongan elit berpendapatan RM150,000 secara purata yang mendambakan keperluan batin. Sugar baby pula merupakan golongan pelajar secara majoriti yang hakikatnya tidak mampu menampung kehidupan dengan kapasiti kemewahan.

Namun, dengan menyertai aktiviti sugar baby ini, ada dari kalangan mereka yang mampu menyewa kondominium mewah serta memperagakan barangan yang mahal. Ironinya, sugar baby ini tidak tertumpu hanya kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Menurut Darren Chan, ada dalam kalangan pelajar yang memang dilahirkan dalam keluarga yang kaya dan mampu memandu kenderaan jenama mewah. Cuma mereka cenderung untuk mencari pendapatan sendiri bagi memastikan kelangsungan kemewahan mereka.

Faktor lain juga iaitu desakan hidup golongan B40 dan M40 yang mana mereka memerlukan kos dana hidup untuk menyara kehidupan seharian termasuklah yuran pengajian dan tempat tinggal. Jika disoroti data sugar baby di Malaysia.

Terdapat 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi yang terlibat dan jumlah ini meningkat kepada 40 peratus ketika pandemik Covid 19 dan aktiviti ini tertumpu di universiti dan kolej di kawasan ibu negara iaitu kawasan Selangor dan Kuala Lumpur yang mana secara umumnya dapat diketahui bahawa kos sara hidup di kawasan itu lebih tinggi berbanding kawasan lain.

Sumber kajian juga ada menggariskan hutang pinjaman tertunggak pelajar tahunan ialah sebanyak RM 39 Billion. Walaubagaimanapun, faktor desakan ini sememangnya membimbangkan kita apabila mereka yang terlibat memilih jalan yang terang-terangan bercanggah dengan agama bagi membiayai kos sara hidup yang tinggi.

‘Sugaring’ menormalisasi hubungan tanpa ikatan perkahwinan

Kesan sugarbook ini termasuklah menormalisasikan hubungan tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Sejak tahun 2019 sehingga Januari 2020, sebanyak 25,567 pendaftaran anak tidak sah taraf di Jabatan Pendaftaran Negara di bawah kategori perkahwinan tidak mencukupi 6 bulan.

Bilangan ini juga bertambah seiring dengan pertambahan tahun. Apabila melihat kepada senario sugar baby ini, ia sebenarnya akan mengundang pertambahan bilangan anak tidak sah taraf di Malaysia kerana melakukan hubungan di luar perkahwinan dan akan  bertambah kritikal jika tidak dibendung oleh Kerajaan Malaysia kerana perkara ini akan menjadi normalisasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tidak terhad kepada mahasiswa sahaja, gejala sosial sugarbaby ini juga melibatkan janda, suri rumah, ibu tunggal dan balu melalui platform Internet seperti Sugarbook.com, SugarDaddy.com, Whats Your Price dan sebagainya. Kenyataan oleh Darren Chan yang mengatakan Sugarbook adalah satu usaha untuk memperkasakan wanita adalah satu penghinaan kepada wanita dan sama sekali bukanlah satu bentuk pemerkasaan wanita.

Hal ini amat membimbangkan kerana ia akan mengundang pergolakan institusi kekeluargaan atas dasar hilangnya nilai kepercayaan dan kesetiaan bagi pasangan yang sudah berkahwin. Apabila sudah gugur nilai kesetiaan dalam kekeluargaan kerana kecurangan pasangan dan pihak ketiga, maka institusi keluarga itu akan menjadi porak peranda dan membawa kepada kesan buruk terhadap moral anak-anak.

Tambahan, hal ini amat membimbangkan jika seorang wanita itu terdesak dan sanggup menjual diri dengan menjadi Sugar Baby untuk keluar daripada kemelut kehidupan. Lebih menakutkan, jika pelajar universiti mengambil jalan pintas untuk mendapatkan wang atau menikmati kemewahan dengan mengambil bahagian dalam aplikasi ini.

Walaupun terdapat pihak yang menyatakan bahawa golongan pelajar universiti yang terjebak dengan pelacuran ini akibat desakan kesempitan wang dan bebanan hutang, ironinya terdapat laporan menyatakan bahawa terdapat golongan yang terjebak dalam permasalahan ini semata-mata ingin merasai gaya hidup mewah.

Justeru, bagi menyelesaikan krisis ini, kami menggesa:

Pihak kerajaan melakukan siasatan terhadap golongan elit yang terlibat di belakang aplikasi Sugarbook, jaringan antarabangsa yang terlibat dan pelabur-pelabur yang  melabur dalam Sugarbook. Hal ini penting setelah melihat pola penggunaan aplikasi sugaring ini bukan sahaja meningkat naik di Malaysia tetapi juga di IPT negara lain seperti Kanada dan Singapura. Bahkan sebenarnya statistik yang dikeluarkan baru-baru ini menampakkan bahawa golongan ini cuba memburukkan lagi imej institusi pengajian tinggi tanah air.

Undang-undang sedia ada perlu diperkasa dan dikemas kini dengan melihat semula kelompongan seksyen 372B Kanun Keseksaan dengan meletakkan sebuah hukuman terhadap lelaki yang menawarkan ganjaran terhadap khidmat pelacuran.

Bagi menjaga kestabilan institusi kekeluargaan di negara ini, kami menyeru pihak berkuasa daripada kerajaan untuk memantau dan mengharamkan aplikasi Sugarbook ini di Malaysia. Begitu juga dengan apa-apa aplikasi yang mempunyai konten pelacuran, berbaur lucah, memaparkan aksi wanita yang tidak sopan kerana ianya satu bentuk pornografi dan pemerdagangan wanita.

Selain itu, unit yang bertanggungjawab di dalam Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) perlu segera melakukan penyelidikan lanjut tentang faktor utama yang  telah menyebabkan terdapat pelajar universiti  terjebak dalam kegiatan tidak bermoral ini dan perlu merangka strategi dalam menangani dan membanteras  permasalahan ini.

Akhir sekali, masyarakat perlu menentang segala jenis maksiat dan kemungkaran yang berlaku  kerana kita tidak akan membiarkan golongan yang mempromosikan gaya hidup bebas dan liberal ini bermaharajalela di negara kita, negara Islam yang tercinta.

Disediakan oleh:

Khidir Institute, Unit Kajian dan Informasi Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina)

Rujukan

(30 Oktober 2018). When romance spells finance. The Malaysian Reserve.

DUNYA, S. A. (11 Februari 2021). Cari ‘sugar Daddy’ melalui ‘Sugarbook’. Sinarharian.

Hakim, A. (13 Februari 2020). Malaysians spent RM24 million on online dating apps in

2019.TRP.

‘Ini Tak adil buat Kami’ – Pengasas Sugarbook. (18 Disember 2019). HM Online.

Malaysia Di tangga ketiga negara paling ramai ‘sugar Daddy’ Di Asia. (9 Februari 2021 ).BeritaHarian.

Malaysia Lubuk ‘Sugar Daddy’, Dilapor Sebagai Negara Ketiga Tertinggi Di Asia. (25

Januari 2021 ). ODISI.

Reporters, F. (10 Februari 2021). Pandemik heret pelajar universiti Ke kancah ‘sugar

baby’.Free Malaysia Today (FMT).

Shepert, E. (11 Januari 2021). Two B.C. universities make list of top ‘sugar baby’

schools in Canada. Vancouver Is Awesome.

‘Sugarbook’ Merendahkan Martabat Wanita, Meruntuhkan Institusi Keluarga Dan

Masyarakat. (19 Disember 2019). Majlis Ulama ISMA.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button