Berita UtamaPendapat

Sugarbook, fatwa nikah dengan niat talak

Hanya mahu nikah mutaah, cari pasangan seksual tanpa komitmen

ISU ‘Sugarbook’ atau perempuan simpanan, atau yang sewaktu dengannya bukanlah isu baharu, dan sebelum ini pun sudah didedahkan dalam akhbar pengakuan salah seorang daripada mereka yang bergelumang dalam kehidupan itu, seorang wanita Melayu yang beragama Islam.

Sebelum ini juga ia telah mendapat tentangan hebat kerana menaikkan iklannya di papan iklan di tengah-tengah bandar dan mengganggu ketenteraman awam kerana mempromosi perkara di luar norma agama dan masyarakat yang sejahtera.

Baru-baru ini kecoh isu statistik yang dinaikkan dalam akhbar mengenai universiti-universiti swasta di tanah air yang mempunyai peratusan tertinggi keterlibatan mereka dalam aplikasi sosial itu.

Dan kecoh juga satu pandangan yang diutarakan seseorang sebagai penyelesaian masalah ini iaitu mengambil pandangan mengizinkan pernikahan ‘dengan niat talak’ sebagai jalan keluar kepada masalah yang tular ini.

Saya hanya ingin ulas pandangan itu dari sudut perbahasan ilmu Usul Fiqh dan juga Maqasid.

1. Walaupun ada pandangan yang mengharuskan nikah dengan bentuk itu (niat di dalam hati dan tidak dilafazkan ketika akad), ia tidak akan menyelesaikan masalah ini kerana isu utamanya adalah isu keperluan kewangan wanita (Sugar baby) dan keperluan seksual lelaki pelanggan (Sugar daddy).

Bagi saya pandangan yang tepat untuk diutarakan adalah memudahkan proses poligami bagi yang benar-benar mampu, dalam masa yang sama mendidik masyarakat untuk tidak melihatnya sebagai satu ‘taboo’ yang pantang disebut-sebut, hinggakan seorang isteri lebih rela suaminya mengambil perempuan simpanan berbanding berkahwin memadukannya (nauzubillah min zalik).

Buat apa kita perlu mengambil pandangan yang mukhtalaf fiih (ulama berselisih pandangan terhadapnya) iaitu dalam kes ini adalah nikah dengan niat talak, sedangkan kita ada perkara yang muttafaq alaih (ulama bersepakat ke atasnya) iaitu nikah poligami.

Poligami memang boleh menyumbang kepada pengurangan masalah sosial, jika dilihat dalam kerangka yang positif dan dilakukan pula dengan menepati syarat-syarat yang sepatutnya.

Okay, cukup sekadar ini sahaja saya bicara pasal poligami.

2. Adapun pandangan yang membenarkan ‘kahwin dengan niat talak’ pula bukanlah menyatakan mereka boleh kahwin secara segera sesuka hati dan perjanjian dua pihak semata-mata, tetapi tetap meraikan segala rukun nikah iaitu dua saksi, wali, kedua pengantin dan akad ijab kabul.

Dengan erti kata lain ia sebiji seperti ‘nikah sebenar’, cuma berbeza pada ‘niat pengantin’ secara batin, tidak pula direkodkan sebagai tempoh tertentu, kerana sekiranya diletakkan tempoh tertentu sebagai akad, ia berubah menjadi nikah mutaah yang ijmak ulamak menyatakan pengharamannya.

Ia hanya tersembunyi dalam niat pengantin lelaki, dan bukan pula persefahaman antara lelaki dan wanita bahawa ia nikah kontrak/sementara.

Apabila aplikasi ini sendiri sudah pun menjelaskan niat mereka bahawa mereka ini bukan mahu berkahwin secara serius, tetapi kerana mahu mendapat duit, berseronok atau mencari pasangan seksual tanpa komitmen, ia sudah menunjukkan mereka memang mahu ‘nikah mutaah’, dan bukannya ‘nikah yang sebenar’.

Kaedah fiqh menyebut :

المعروف عرفا كالمشروط شرطا

“Perkara yang sudah makruf secara urufnya, akan dianggap sebagai syarat dalam akad,”

Apabila kedua-dua ‘Sugarbaby’ dan ‘Sugardaddy’ berpakat untuk berkahwin ‘dengan niat cerai’ tanpa dizahirkan, ia sudah pun berpakat untuk melakukan nikah mutaah, kerana secara urufnya kedua-duanya tidak berhasrat mendirikan rumahtangga atas asas nikah yang sahih.

Tabiat perhubungan mereka itu sendiri walaupun tanpa lafaz dalam akad, sudah pun menjelaskan niat mereka iaitu nikah secara bertempoh.

3. Mengetengahkan pandangan begini hanya akan meluaskan lagi kebuasan nafsu pihak yang terlibat kerana mempunyai jalan keluar yang ‘halal’ kononnya atas nama agama.

“Tujuan syariat itu adalah untuk mengeluarkan mukallaf daripada dorongan hawa nafsunya, hingga ia menjadi hamba Allah secara pilihan, seperti mana dia sudah pun menjadi hamba Allah secara terpaksa” – Al-Muwafaqat, Asy-Syatibi

Dorongan nafsu syahwat itu perlu dididik hingga takut untuk melanggar perintah Allah SWT, lalu mengikuti syariat-Nya, bukan dibelai dan dilayan dengan permintaan-permintaan yang tiada batasnya.

Hakikatnya Islam telah pun memberikan jalan dalam isu ini iaitu hukuman yang keras kepada yang terlibat dalam penzinaan iaitu rejam kepada yang berkahwin dan sebat kepada yang bujang.

Masyarakat perlu dididik dengan menghormati pendirian-pendirian syarak, bukan mengambilnya sebagai jalan belakang untuk menghalalkan sesuatu perkara.

Tujuan syarak dalam mendidik jiwa manusia perlu dizahirkan kepada masyarakat kerana peranan syariah adalah membawa kemaslahatan kepada manusia di dunia dan akhirat.

4. Institusi keluarga mendapat tempat yang cukup besar dalam syariat, di mana akad nikah disebut sebagai ‘mithaqan ghaliizha’ dalam Surah An-Nisa’, ayat 21, iaitu perjanjian yang berat, seperti yang dilafazkan kepada para ulul azmi daripada kalangan Rasul bahawa Allah telah mengambil daripada mereka ‘mithaqan ghaliizha’ dalam Surah Al-Ahzab, ayat 7.

Ketinggian institusi keluarga membawa kepada syarat-syarat yang ketat dalam perkahwinan dan mempunyai perincian yang detail dalam harta pusaka dan perceraian.

“Syarak mengetatkan syarat sesuatu perkara berkadaran dengan ketinggian maslahat perkara itu,” – Al-Furuq oleh Al-Qarafi

Sewajarnya apabila kita melihat saiz institusi kekeluargaan yang mempunyai makna yang tinggi ini, kita melihat betapa besarnya kerosakan yang dibawa oleh arus jahiliyah yang merosakkannya kerana ia akan merosakkan keseluruhan masyarakat dengan kerosakan institusi ini.

Justeru setiap persoalan yang melibatkan keutuhan institusi keluarga seharusnya diteliti dan dilihat dalam skop yang lebih besar dan lebih luas, bukan semata-mata aspek pelaku dan yang terlibat, tetapi melihat konteks kesannya kepada pembangunan masyarakat dan jatidiri generasi masa depan.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button