Berita Utama

Tiada lagi had 10km perjalanan

Sekatan perjalanan antara daerah, negeri masih berterusan

KUALA LUMPUR, 4 Rejab 1442H, Selasa – Had perjalanan dalam lingkungan 10 kilometer (km) dalam daerah yang sama telah dibatalkan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ia terpakai untuk negeri-negeri yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP).

“Ini kerana lebih banyak aktiviti dan perniagaan telah kembali beroperasi seperti restoran dan kolam memancing sehingga larangan sejauh 10km tidak lagi relevan,” katanya.

Sebelumnya di bawah PKP, kerajaan mengumumkan had perjalanan dalam lingkungan 10km dari rumah individu.

Bagaimanapun, sekatan perjalanan antara daerah dan antara negeri masih dilaksanakan, kata Ismail Sabri pada sidang media pada hari ini.

Ketika ditanya mengapa rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan, Ismail Sabri mengatakan bahawa setelah pelonggaran peraturan pada bulan Disember, terdapat peningkatan kes yang disebabkan oleh perjalanan antara daerah dan negeri.

Beliau juga memaklumkan perjalanan antara daerah hanya dibenarkan di Perlis kerana negeri ini sedang dalam PKPP.

Katanya, kawasan di bawah PKP masih mempunyai sekatan dua orang di dalam kereta, sementara negeri-negeri lain tidak mempunyai batasan jumlah orang di dalam kenderaan, mengikut kapasitinya.

PKP akan dilanjutkan di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, dan Pulau Pinang dari 19 Februari hingga 4 Mac.

Semua negeri lain, Putrajaya dan Labuan kecuali Perlis telah diletakkan di bawah PKPB.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button