Berita Utama

Waspada penipuan pajak gadai tak berlesen

Pilih premis perniagaan berdaftar, elak urusan melalui medium atas talian

BANGI, 4 Rejab 1442H, Selasa – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada sekiranya ingin menggadaikan barangan berharga bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Ini kerana dibimbangi wujudnya aktiviti pajak gadai tidak berlesen atau penipuan pajak gadai yang mengambil kesempatan ke atas mangsa-mangsa yang terdesak untuk mendapatkan wang.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Zainuddin Yaacob mengingatkan masyarakat supaya berurusan dengan syarikat pajak gadai yang dilesenkan kerajaan.

“Jangan sesekali berurusan melalui medium atas talian kerana aktiviti pajak gadai hendaklah dijalankan secara fizikal di premis perniagaan yang berdaftar.

“Walaupun setakat ini tiada laporan polis berkaitan kes sebegini diterima, namun kebarangkalian untuk kes-kes sebegini berlaku adalah tidak mustahil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengambil tahu prosedur dan undang-undang yang berkaitan bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan.

“Usaha dan peranan dari pihak polis serta masyarakat amat penting bagi memastikan negara ini terhindar dari perlakuan jenayah komersil.

“Antara lain, masyarakat juga diingatkan untuk sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat dan mengutamakan keperluan.

“Hidup secara bermewah-mewah bukan lagi suatu pilihan kerana yang lebih penting adalah memastikan kelangsungan hidup itu sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button