Berita Utama

Yakinkan masyarakat perlu ambil suntikan vaksin COVID-19

Penting wujudkan imuniti kelompok, bolehkan ekonomi negara kembali pulih

BANGI, 4 Rejab 1442H, Selasa – Semua pihak perlu berusaha meyakinkan sebanyak mungkin ahli masyarakat untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19, kata Dr Haliza Abdul Rahman.

Ia termasuk pihak berwajib yang perlu menangani kegusaran masyarakat berkaitan perkara itu, kata Profesor Madya di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

“…dengan kempen besar-besaran perlu dilaksana KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk memberi penerangan berterusan supaya dapat memupuk pemahaman mengenai kepentingan vaksin COVID-19,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dilaksanakan melalui tiga fasa, bermula hujung bulan ini, dengan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.

Beliau berkata, program vaksinasi yang dirancang kerajaan untuk rakyat adalah penting bagi mewujudkan imuniti kelompok, sekali gus membolehkan ekonomi negara kembali pulih sama seperti negara lain yang telah melancarkan program sama.

“Bagi Malaysia, Bank Dunia meramalkan ekonomi negara akan kembali berkembang pada kadar 6.7 peratus bagi 2021. Ia tertakluk kelancaran dan keberkesanan program imunisasi, peningkatan kedudukan eksport negara serta tahap pelaburan di Malaysia.

“Justeru, untuk memastikan ramalan ini menjadi realiti, kejayaan pelaksanaan program imunisasi kebangsaan amatlah penting kerana negara bebas COVID-19 menjadi keutamaan pelabur asing.

“Lantaran itu, pelaburan negara untuk pembelian vaksin sangat kritikal dan pasti memberikan pulangan berlipat ganda pada masa terdekat, khususnya mempercepatkan usaha merancakkan kembali ekonomi negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button