Berita Utama

Badan perundangan dimandulkan, Azalina cadang Kabinet Darurat Khas

Kenapa tak guna ordinan bolehkan Parlimen bersidang ketika darurat seperti negara lain?

BANGI, 5 Rejab 1442H, Rabu – Mengapa kerajaan tidak boleh atau enggan mengguna pakai ordinan bagi memudahkan mesyuarat Parlimen diadakan seperti diamalkan negara-negara lain dalam tempoh darurat.

Demikian persoalan yang ditimbulkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bertarikh 3 Februari lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, kerajaan boleh mengambil beberapa langkah memudahkan mesyuarat Parlimen termasuklah mengurangkan korum Ahli Parlimen yang hadir.

Selain itu, antara langkah lain juga adalah menetapkan waktu mesyuarat yang fleksibel serta menyiarkan prosiding Kamar Khas, katanya.

“Tanpa melakukan sebarang improvisasi supaya persidangan Parlimen boleh diteruskan, kerajaan telah memutuskan untuk menggantung Parlimen sama sekali.

“Tidak cukup dengan itu Jabatan Peguam Negara (AGC) kini menasihati kerajaan dengan agak sempitnya bahawa semua aktiviti jawatankuasa yang ditubuhkan di Parlimen termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas (JK) tidak wajar diteruskan termasuklah secara maya,” katanya.

Dalam hal ini, Azalina berkata, dengan fungsi badan perundangan dimandulkan dan aktiviti JK dibatalkan, badan Eksekutif mempunyai kebebasan dalam memerintah negara selagi mana darurat berkuat kuasa.

“Apa yang lebih membimbangkan bagi demokrasi Parlimen Malaysia adalah bahawa setiap darurat yang diisytihar atau ordinan yang digubal di bawah Perkara 150 ‘tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan’.

“Fungsi Perlembagaan yang ketara ini termaktub dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa ‘Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen’.

“Saya tekankan di sini bahawa pertanggungjawaban menteri adalah mustahak dalam sistem berparlimen, oleh sebab ia memastikan akauntibiliti kerajaan kepada Parlimen dan secara langsung atau tidak langsung kepada pengundi,” katanya.

Malangnya, Azalina berkata, penggantungan Parlimen tiada ruang untuk mempertanggungjawabkan Jemaah Menteri secara berasingan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk mempertimbangkan penggantungan tugas-tugas Jemaah Menteri dan digantikan dengan pelantikan Kabinet Darurat Khas yang terdiri daripada kementerian-kementerian yang relevan.

Beliau berkata, Kabinet tersebut boleh dibenarkan untuk berfungsi dengan kuasa-kuasa yang terhad sehingga darurat dibatalkan.

“Pada masa yang sama, sebuah Jawatankuasa Parlimen Khas Bipartisan yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen daripada pembangkang dan juga kerajaan, dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat antara lain, mempertanggungjawabkan menteri-menteri dan bertindak sebagai check and balance,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button