Aman Palestin lancar kempen Ramadan Bersama, sasar kumpul RM15 juta
Bantuan untuk 250,000 rakyat Palestin, Syria, Yaman serta Malaysia dalam kesusahan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 5 Rejab 1442H, Rabu – Aman Palestin, hari ini melancarkan kempen ‘Ramadan Bersama’ yang menyasarkan kutipan sumbangan berjumlah RM15 juta untuk membantu rakyat di Palestin, Syria dan Yaman.
Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut berkata, kempen yang sudah bermula pada 1 Rejab 1442H (13 Februari) itu bakal memberi manfaat kepada seramai 250,000 orang sepanjang bulan suci Ramadan.
Kempen itu dilancarkan seiring dengan sambutan penubuhan Aman Palestin yang mencapai usia 15 tahun, pada tahun 2021 ini.
“Sambutan 15 tahun Aman Palestin ini membuktikan bahawa segala perjuangan kami selama ini tidak sia-sia bahkan telah mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.
“Kita juga telah berjaya meningkatkan survival rakyat Palestin serta menanamkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia bahawa perjuangan untuk Palestin wajib diteruskan hingga ke hujung nyawa.
“Sesungguhnya Aman Palestin tidak akan berhenti dalam memberi perjuangan baik daripada aspek bantuan tenaga, masa mahupun wang ringgit untuk kembalikan hak mereka sebagai negara yang merdeka,” katanya dalam sidang media Sambutan 15 Tahun Aman Palestin serta Pelancaran Kempen Ramadan Bersama, di sini, hari ini.
Selain itu, beliau memaklumkan, Aman Palestin juga akan terus memberikan komitmen untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat tempatan yang ketika ini dalam kesusahan berikutan pandemik COVID-19.
Katanya, Aman Palestin akan memberi bantuan secara khusus kepada golongan terjejas melalui Kelab Perwira Malaysia – sebuah kelab yang bernaung di bawah Aman Palestin Berhad.
“Secara keseluruhannya setiap sumbangan dan bantuan adalah bukti dan perjuangan tak berbelah bahagi dari kami,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Berhad, Ustaz Muhd Farhan Mohd Fadhil berkata, pihaknya mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyumbang dan mendapatkan pahala melalui kempen Ramadan Bersama ini.
Beliau berkata, kempen ini adalah antara kempen terbesar yang dilaksanakan Aman Palestin.
Katanya, daripada dana yang dikumpulkan, sumbangan akan diberikan melalui enam program khusus iaitu Sahur dan Berbuka; Kotak Makanan; Program Imarah Ramadan; Hadiah Raya; Hadiah Ramadan dan Tabung Ramadan Kareem.
“Tinggal lagi 55 hari untuk kita tiba di bulan Ramadan, saya mengajak kita rebut peluang ini untuk meraih pahala dan memberi kepada yang perlu.
“Kemungkinan besar tahun ini, sambutan Ramadan adalah seperti tahun lepas. Tetapi kita sentiasa optimis dengan kekuatan berdoa, dan kebaikan-kebaikan yang dilakukan dengan izin Allah dapat menjadi asbab COVID-19 segera terhapus,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi pejabat cawangan Aman Palestin di seluruh negara atau melayari laman sesawang: www.amanpalestin.net.