Berita Utama

Annuar Musa sedia jawab saman Lim Kit Siang di mahkamah

‘Saya menyebut fakta berdasar rekod dan catatan sejarah’

BANGI, 5 Muharam 1445H, Ahad – Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang berhubung ucapan beliau yang didakwa mengaitkan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dengan tragedi rusuhan kaum pada 16 Mei 1969.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu memaklumkan telah menerima surat tuntutan daripada peguam Kit Siang dua minggu lalu, berhubung ucapannya di Bachok yang dipetik di dalam laporan portal Malaysiakini.

Annuar menegaskan, beliau tidak boleh mengambil tanggungjawab apa yang dilaporkan Malaysiakini, namun bersedia mempertahankan ucapannya yang sebenar.

“… bahawa berlaku peristiwa 13 Mei 1969, antara lain berpunca dari ucapan-ucapan pemimpin yang berbaur perkauman, sebelum dan semasa peristiwa tersebut. Saya menyebut fakta sejarah berdasar rekod dan catatan sejarah.

“Justeru, semalam saya telah berikan arahan kepada peguam saya untuk membalas LOD (Letter of Demand) tersebut dan menegaskan pendirian saya dan sebahagian dari asas pendirian tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Kit Siang yang juga bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri memaklumkan sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Annuar yang juga bekas pemimpin UMNO yang kini menyertai PAS.

Ia susulan dakwaan Annuar yang mengaitkan beliau dengan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Annuar berkata, sekiranya Kit Siang masih memilih untuk membawanya ke mahkamah dan tidak berhujah secara politik, maka beliau juga bersedia untuk menjawab di mahkamah.

“Perahu sudah di air, dayung sudah di tangan. Saya juga sedia bertemu YB Tan Sri Lim Kit Siang secara baik dan bersemuka berbincang isu politik negara.

“Sebagai ahli politik semua kita bertanggungjawab berpolitik secara matang dan bertanggungjawab dan pastikan negara kita bebas dari perkauman sempit dan peristiwa seperti 13 Mei tidak harus berulang.

“Biarlah Malaysia sebagai negara majmuk di mana rakyatnya terus hidup dalam aman harmoni dan sejahtera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button