Berita Utama

Ganggu negara bantu Palestin, perang proksi lakonan Israel

Kini gelabah pencapaian kemajuan teknologi milik Iran, Turki

BANGI, 5 Rejab 1442H, Rabu – Perang proksi yang tercetus – atas alasan tertentu – di setiap negara yang menjadi laluan untuk membantu Palestin merupakan peta lakonan bagi menyelamatkan negara haram Israel.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, semua negara yang terlibat menjadi saluran bantuan kepada Palestin akan diganggu dengan pelbagai cara.

Katanya, negara haram Israel diiktiraf sah kewujudannya, walaupun bumi itu dirampas daripada penduduk asal yang dihalau keluar secara paksa dan zalim.

Sebaliknya, penduduk asal Palestin pula dipaksa dengan pelbagai tawaran mewah dan dipujuk oleh jiran-jiran mereka yang tidak berperikemanusiaan supaya menyelamatkan Israel.

“Kini kita menyaksikan lakonan perdamaian bagi menyelamatkan negeri haram Israel terus berlangsung dengan sedemikian rupa. Antaranya ialah langkah menyekat setiap laluan yang membantu perjuangan Palestin.

“… Bagi Israel, bukan lagi soal ideologi atau mazhab atau kaum. Semua yang menjadi ancaman kepada Israel mesti dihapuskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Hadi yakin, ketika ini Israel ‘gelabah’ dengan pencapaian kemajuan teknologi tinggi dimiliki Iran dan Turki.

Katanya, ini kerana kedua-dua negara itu bakal bangkit menjadi kuasa besar dunia yang berpihak kepada Palestin.

Justeru, katanya, kempen sedang berlangsung bagi menggagalkan kebangkitan dua negara Islam ini yang mana sasarannya ialah Muslim, khususnya dalam kalangan agamawan dan ahli politik yang berpengaruh serta boleh dipergunakan dengan berbagai-bagai cara atau pendekatan.

“Tanpa disedari akan dirinya yang jahil murakkab diberikan umpan yang lumayan.

“Iran dikatakan mazhab Syiah yang dianutinya tidak layak disokong oleh Sunni, manakala Turki pula ditohmah akan kembali menjadi penjajah ‘Uthmaniyah’ yang mengancam keamanan dunia dan tidak layak mendapat sokongan negara Islam. Khususnya sokongan negara Arab yang menjadi Imam Sunni dan bangsa Nabi Muhammad ﷺ.

“Sebenarnya semua itu adalah lakonan filem lama hitam putih yang dibaharukan menjadi filem warna-warni dan perancangan lakaran peta baharu yang perlu diubah. Sesetengahnya gagal menyekat kebangkitan semula untuk kembali kepada Islam. Maka dirancang strategi secara berhadapan atau secara halus,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button