Berita Utama

Kelab Perwira Malaysia sasar 1,000 sukarelawan tahun ini

Tidak hanya fokus bantu masyarakat tapi anjur program latih kepakaran, kemahiran survival ahli

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 5 Rejab 1442H, Rabu – Kelab Perwira Malaysia – sebuah kelab yang bernaung di bawah Aman Palestin Berhad menyasarkan pertambahan sehingga 1,000 ahli menjelang akhir tahun 2021.

Pengurusnya, Nik Muhamad Rafie berkata, kelab ini bukan sahaja akan memfokuskan pemberian bantuan kepada masyarakat, tetapi ia juga menganjurkan program latihan untuk pembentukan jati diri dan membina kepakaran ahli.

Beliau berkata, kelab tersebut baru sahaja didaftarkan pada 2 November tahun lalu dan telah memiliki seramai 300 orang ahli ketika ini.

“Kita menyasarkan lebih ramai penyertaan menjelang penghujung tahun ini. Kita berusaha bagi membantu rakyat yang memerlukan, menyusun program yang bersesuaian dalam pembentukan jati diri ahli. Kita kongsikan ilmu survival supaya ahli yang sertai dapat ilmu tambahan, latihan akan dijalankan dalam bentuk yang tersusun dengan baik.

“Sebagai contoh kita akan laksanakan kursus secara dalam talian mengenai pengenalan simpulan dan ikatan pada 27 Februari ini. Juga kita akan anjurkan kursus pengendalian haiwan berbisa pada 27 Mac nanti,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Meskipun masih baru menapak, Kelab Perwira telah menjalankan banyak projek termasuk membantu 15 hospital dalam negara yang menguruskan pesakit COVID-19 dengan memberikan bantuan seperti set peralatan perlindungan diri (PPE), pelitup muka dan beberapa peralatan keperluan hospital lain.

Antara hospital yang telah disampaikan bantuan adalah Hospital Kajang, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

“Selain itu, buat masa sekarang kita tengah mengusahakan untuk memberikan 200 buah komputer riba untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) untuk murid di Sekolah Kebangsaan Kajang pada Jumaat ini.

“Kita akan berikan komputer riba ini kepada murid memerlukan termasuk mereka daripada keluarga susah, yang cemerlang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhammad Rafie berkata, pada awal bulan Mac pula mereka akan melaksanakan misi nyah sanitasi di sekolah, surau dan masjid.

“Kita bayang dan doa selepas bulan tiga dapat buka surau, kita akan buat proses nyah sanitasi ini. Kita juga akan teruskan satu projek yang dilaksanakan, pek makanan khusus untuk sambutan bulan Ramadan. Jadi saya mengajak orang ramai sama-sama kita sertai Kelab Perwira untuk beri sumbangan dan belajar sesuatu yang baru,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button