KKM terbit borang persetujuan vaksinasi COVID-19
Rangkumi klausa penerima nyata persetujuan bertanggungjawab terhadap sebarang risiko

PULAU PINANG, 5 Rejab 1442H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) menerbitkan borang persetujuan vaksinasi COVID-19, sembilan hari sebelum pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Borang yang dimuat naik di laman web Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang itu mengandungi beberapa set soalan dan keperluan untuk mengisi butiran peribadi penerima vaksin.
Borang itu merangkumi klausa menyatakan persetujuan penerima vaksin bertanggungjawab terhadap sebarang risiko.
Penandatangan perlu menyatakan sejarah kesihatan termasuk sama ada pernah mengalami kesan sampingan teruk selepas menerima imunisasi sebelum ini, mempunyai sejarah alahan teruk, sedang atau bercadang untuk hamil dan sekiranya menyusukan bayi.
Bahagian bawah borang berkenaan pula memuatkan beberapa terma persetujuan yang perlu difahami oleh penerima sebelum diberikan suntikan vaksin, mengikut jenis dan dos ditetapkan.
Dengan menandatangani borang persetujuan itu, penandatangan memahami perkara berikut:
1. Pengambilan vaksin COVID-19 mungkin menimbulkan reaksi serta kesan sampingan seperti dinyatakan dalam Maklumat Vaksin COVID-19 Bagi Penerima Vaksin.
2. Saya bertanggungjawab ke atas risiko yang mungkin berlaku akibat keputusan atau tindakan saya ini kerana manfaat vaksin adalah jauh lebih baik daripada kesan sampingannya.
3. Vaksin ini tidak memberi jaminan sepenuhnya kepada saya daripada tidak mendapat jangkitan COVID-19 pada masa akan datang.
4. Dengan menandatangani persetujuan menerima vaksin COVID-19 ini, saya bersetuju dengan rela hati untuk melengkapkan jumlah pengambilan dos vaksin seperti yang dijadualkan.
Pada akhir borang, penandatangan diminta menuliskan nama dan nombor kad pengenalan, termasuk jika menandatangani borang itu bagi yang berada bawah jagaan mereka.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata orang ramai tidak diberi peluang memilih jenis vaksin COVID-19 sepanjang program pelalian dilakukan.
Sebaliknya, orang ramai akan dimaklumkan mengenai tarikh, masa dan tempat bagi temu janji suntikan pelalian ini.