Berita UtamaDunia

Gencatan senjata tamat, Israel kembali mengganas di Gaza

Netanyahu ikrar mahu hapuskan Hamas, capai matlamat perang

GAZA, 17 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Pertempuran hebat sedang berlaku di seluruh Semenanjung Gaza, selepas tentera Israel meneruskan operasi serangan terhadap Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Pertempuran bermula kira-kira jam 7 pagi waktu tempatan (05:00GMT) pada hari Jumaat, selepas berakhirnya gencatan senjata sementara.

Serangan udara Israel telah berlaku di seluruh semenanjung, termasuk selatan, yang sebelum ini dikatakan selamat untuk orang awam melarikan diri.

Laporan mengenai roket dan tembakan muncul sejam sebelum gencatan senjata sementara tamat. 

Usaha untuk melanjutkan jeda kemanusiaan telah dijalankan tetapi tiada komen daripada pengantara Qatar.

Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa dan menuduh Hamas tidak bersetuju untuk membebaskan lagi tebusan, melanggar syarat gencatan senjata.

“Pertempuran diteruskan, Israel komited untuk mencapai matlamat perang – membebaskan tebusan, menghapuskan Hamas, dan memastikan bahawa Gaza tidak akan pernah menimbulkan ancaman kepada penduduk Israel,” katanya.

Kini terdapat laporan mengenai serangan berat dan tembakan Israel di bahagian utara, tengah dan selatan Gaza, lapor wartawan Al Jazeera di kawasan itu.

“Semenanjung Gaza berada di bawah artileri berat dan juga pengeboman udara oleh pasukan pendudukan [Israel].

“Dalam beberapa jam akan datang, kita mungkin menyaksikan peningkatan jumlah serangan Israel di seluruh wilayah itu,” kata wartawan, Tareq Abu Azzoum, melaporkan dari Khan Younis di selatan Gaza. 

Beliau berkata, sebuah bangunan kediaman dimusnahkan di kem pelarian Jabalia; di tengah Gaza.

“Kereta kebal telah membedil berhampiran kem pelarian Nuseirat dan Bureij dan beberapa orang awam cedera di kawasan al-Maghazi; dan di selatan, empat rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dan sebuah rumah di Rafah musnah sama sekali,” katanya.

Jeda kemanusiaan selama tujuh hari, yang bermula pada 24 November dan dilanjutkan dua kali, telah membenarkan pertukaran berpuluh-puluh tebusan Israel dengan ratusan tahanan Palestin, dan ia memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button