Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Pahang beri RM500 kepada setiap isi rumah terkesan banjir

Setuju bayar sewa selama 3 bulan untuk 27 mangsa hilang rumah asal

BANGI, 5 Rejab 1442H, Rabu – Kerajaan negeri Pahang bersetuju memberikan wang tunai RM500 bagi setiap ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan banjir serta rumah saudara-mara susulan terkesan banjir pada Januari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan dengan nilai sama juga akan diberikan kepada peniaga di gerai dan rumah kedai yang turut terjejas di seluruh negeri.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang dipengerusikan beliau hari ini.

“Jumlah kesemua ialah 18,726 orang melibatkan peruntukan kira-kira RM9.4 juta.

“Mesyuarat hari ini juga mengambil maklum, kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri, meluluskan peruntukan wang ihsan RM500 bagi setiap KIR,” katanya dalam kenyataan.

Wan Rosdy berkata, sumbangan kerajaan Persekutuan menerusi NADMA hanya meliputi 8,600 KIR membabitkan kira-kira RM4.3 juta.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri menetapkan pemberian Bantuan Bayaran Sewa untuk tiga bulan kepada KIR yang kehilangan rumah asal dan rumah tidak dapat diduduki akibat bencana sama.

“Jumlah KIR terbabit ialah 27 orang manakala peruntukan disediakan bagi menampung kos sewaan rumah selama tempoh tiga bulan berkenaan ialah kira-kira RM16,800.

“Sukacita juga saya maklumkan, mesyuarat MMK pagi ini turut bersetuju menyumbangkan sebuah komputer riba bagi setiap seorang penerima di bawah senarai Bantuan Kanak-Kanak (BKK) Negeri Pahang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 tahun ini,” katanya.

Wan Rosdy berharap bantuan kewangan dan peralatan yang diumumkan dapat meringankan beban ditanggung akibat bencana banjir, serta masalah pembelajaran dalam tempoh pandemik COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button