Berita Utama

Pelik! Mengapa pengasas Sugarbook belum didakwa?

Walhal laporan polis sudah dibuat ramai pihak setiap hari

BANGI, 5 Rejab 1442H, Rabu – Pelik! Mengapa pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sugarbook masih belum didakwa walhal, laporan polis sudah dibuat oleh banyak pihak.

Demikian persoalan dibangkitkan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) berhubung aplikasi Sugarbook yang didakwa mempromosikan gaya hidup tidak bermoral.

Terdahulu, media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.

Aplikasi berkenaan didakwa menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.

Lebih mengejutkan ramai pihak apabila Sugarbook melaporkan, pendaftaran pelajar sehingga 40 peratus untuk menjadi ‘sugar baby’ sejak Januari lalu, atas alasan kononnya krisis kewangan yang dialami.

Ia juga mendedahkan seramai 12,705 pelajar terdiri daripada penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Lembah Klang, termasuk dua universiti awam, berdaftar dengan platform itu

Sehubungan itu, BERJASA berasa hairan Menteri Komunikasi dan Multimedia mahupun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak mengambil tindakan tegas menangani isu ini.

“Daripada jumlah tersebut, berapa ramai bilangan remaja dan wanita Melayu yang terlibat dengan kancah pelacuran ini?

“Sehingga hari ini, Menteri Komunikasi dan Menteri Wanita dan Keluarga Malaysia tidak melakukan apa-apa tindakan tegas terhadap isu ini.

“Laporan polis setiap hari telah dilakukan oleh pelbagai NGO dan aktivis masyarakat untuk mendakwa pengasas Sugarbooks ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button