Berita Utama

Seludup 28 pendatang tanpa izin guna treler gagal

Tangkapan dilakukan 6 pegawai Jabatan Imigresen dalam Ops Serkap

KUNAK, 5 Rejab 1442H, Rabu – Taktik seorang lelaki menyeludup keluar 28 pendatang tanpa izin dengan menyembunyikan mereka di dalam ‘bucket’ lori treler dipandunya gagal mengaburi pihak berkuasa, apabila ditahan di kawasan Sekatan Jalan Raya (SJR) KM 38 Jalan Kunak Tawau dekat sini, dua hari lalu.

Suspek lelaki tempatan berusia 39 tahun yang memandu treler dari Lahad Datu itu, menyorokkan 17 lelaki, lima wanita, empat kanak-kanak lelaki serta dua kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia antara 5 hingga 55 tahun, di dalam ‘bucket’ lori dipercayai menuju ke Tawau.

Tangkapan itu dilakukan enam pegawai Jabatan Imigresen yang dalam operasi Ops Serkap antara 9 malam hingga 12.30 tengah malam, dengan bantuan anggota polis serta tentera yang sedang bertugas di SJR berkenaan.

Pengarah Imigresen Sabah Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, pegawai operasi itu mulai mengekori treler dari Jalan Assam, Lahad Datu sehingga di SJR KM 38, sebelum menahan individu berkenaan.

“25 yang ditahan termasuk enam kanak-kanak melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu tidak mempunyai dokumen yang sah.

“Manakala tiga lagi melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c ) Akta Imigresen 1959/63, iaitu kesalahan telah tamat tempoh pas, di samping suspek tempatan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Menurutnya kesemua tahanan itu dibawa ke Pusat Kurantin Transit Dewan Tun Datu Haji Mustapa, Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Sementara itu Komander Kawasan Keselematan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Ahmad Fuad Othman turut mengesahkan tangkapan pendatang tanpa izin di kawasan SJR dengan bantuan pasukan keselamatan yang dalam tugas berkawal.

“Ini merupakan taktik baharu untuk menyeludup, dan saya difahamkan mereka ini mahu ke ladang-ladang, kes itu masih dalam siasatan,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu berkata atur gerak Operasi Cegah Pati (OCP) Daratan yang dilaksanakan pihaknya sejak 7 Okt lalu selepas OCP Laut, banyak menghasilkan kejayaan tangkapan puluhan individu serta rampasan bernilai jutaan ringgit. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button