Berita UtamaDunia

Houthi Yaman serang pelabuhan Israel

Lancar peluru berpandu ke arah kapal MSC UNITED VIII di Laut Merah

SANAA, 14 Jamadilakhir 1445H, Rabu – Tentera laut Angkatan Bersenjata Yaman melakukan serangan dron menyasarkan bandar pelabuhan Israel, Eilat serta sebuah kapal komersial di Laut Merah.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea berkata, kumpulan itu melakukan serangan dron ke atas Eilat dan kawasan lain di Palestin yang diduduki.

Katanya, peluru berpandu dilancarkan ke arah kapal MSC UNITED VIII di Laut Merah selepas ia menolak tiga amaran.

MSC Mediterranean mengesahkan bahawa MSC UNITED VIII, yang dalam perjalanan dari pelabuhan Raja Abdullah di Arab Saudi ke Karachi, Pakistan, diserang pada Selasa bagaimanapun anak kapal selamat.

Syarikat perkapalan itu memaklumkan, ia sedang menjalankan penilaian dan melaporkan kejadian itu kepada pakatan tentera laut pimpinan Amerika Syarikat (AS) di Laut Merah.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas kumpulan maritim Britain menerima laporan mengenai insiden yang melibatkan sebuah kapal di luar pantai Yaman, mengatakan bahawa dron telah dilihat dan letupan kedengaran.

Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) pada Selasa berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 60 batu nautika (111km) di luar pelabuhan Hodeidah Yaman.

Insiden itu berlaku ketika ketegangan yang tinggi di Laut Merah, di mana Houthi telah menyasarkan kapal komersial sebagai solidariti dengan Palestin selama berminggu-minggu.

AS berkata, Houthi, yang mengawal kawasan luas di utara Yaman, telah melancarkan lebih daripada 100 serangan dron dan peluru berpandu, menyasarkan 10 kapal perkapalan komersial yang mempunyai hubungan dengan puluhan negara.

Kumpulan itu juga melancarkan peluru berpandu dan dron ke Israel, yang telah melancarkan serangan dahsyat ke atas wilayah Gaza yang terkepung di mana ia memerangi Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) berikutan serangan ke atas selatan Israel pada 7 Oktober.

Serangan Israel ke atas Gaza telah membunuh lebih 20,000 rakyat Palestin dan mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan peningkatan serantau yang lebih meluas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button