Berita UtamaIstimewa

Sugarbook: Kerosakan sistem sosial heret wanita ke lembah durjana

Kapitalis pentingkan keuntungan tanpa fikir akibat perbuatan jijik mereka

BANGI, 5 Rejab 1442H, Rabu – Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyambut baik tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman sesawang Sugarbook.

Bagaimanapun Ketua Wanita ISMA, Dr Suriani Sudi berharap agar lebih banyak lagi laman sesawang seperti itu didedahkan dan diambil tindakan keras oleh pihak berwajib.

Sambil mengucapkan tahniah atas tindakan berani pihak kerajaan menutup akses laman sesawang Sugarbook, beliau menggesa sistem bersifat kapitalisme dan individualistik digantikan.

“Sistem sosial kapitalis hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kisah tentang akibat daripada perbuatan yang jijik dan tidak bermoral ini.

“Keruntuhan institusi kekeluargaan, terhakisnya maruah dan harga diri wanita, gangguan kesihatan mental wanita akan mengheret masyarakat ke lembah binasa,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sistem sosial yang ada pada hari ini telah mengakibatkan wanita terperosok ke lembah kedurjanaan, menggadai maruah diri demi kemewahan kerana dibuai oleh imej-imej yang banyak ditunjukkan di media massa dan media sosial secara khusus.

“Sugarbook seperti yang dinyatakan oleh Founder dan CEO merupakan laman sesawang yang membolehkan ‘sugar daddy’ melanggan ‘sugar baby’ bagi memenuhi keinginan dan nafsu masing-masing.

“Sugar daddy yang inginkan pemuas nafsu seks serta ‘sugar baby’ yang menginginkan kepuasan nafsu material.

“Oleh itu, masanya telah tiba untuk kita mencari alternatif kepada sistem berasaskan humanisme, yang bersifat kapitalisme dan individualistik,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.

Aplikasi berkenaan didakwa menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.

Lebih mengejutkan ramai pihak apabila Sugarbook melaporkan pendaftaran pelajar sehingga 40 peratus untuk menjadi ‘sugar baby’ sejak Januari lalu, atas alasan kononnya krisis kewangan yang dialami.

Ia juga mendedahkan seramai 12,705 pelajar terdiri daripada penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Lembah Klang, termasuk dua universiti awam, berdaftar dengan platform itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button