Berita Utama

Vaksin tak bertentang dengan Islam: Ketua Dewan Ulama PAS

COVID-19 putuskan silaturahim, halang bersolat jemaah

PASIR PUTEH. 5 Rejab 1442H, Rabu – Dewan Ulama PAS menasihati umat Islam agar menerima vaksin COVID-19 yang bakal diagih kepada rakyat bermula akhir bulan ini tanpa rasa ragu berikutan jaminan telah diberikan bahan itu tidak mempunyai unsur bercanggah dengan Islam.

Ketuanya Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata keperluan bagi umat Islam menerima vaksin tersebut juga berdasarkan beberapa prinsip asas ajaran Islam iaitu menjaga keharmonian Islam, kesihatan, harta benda, nyawa dan sektor ekonomi.

“Ia (ancaman COVID-19) menghalang umat Islam daripada menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dan memutuskan silaturahim apabila tidak boleh berhubung dan menziarahi sanak saudara serta sahabat handai yang mengalami musibah.

“Wabak yang sedang mengancam negara sekarang boleh meruntuhkan prinsip-prinsip asas berkenaan sekiranya tidak dibendung dengan segera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Info On Wheels Kempen Pematuhan SOP COVID-19, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Penerangan Kelantan Azahar Ismail berkata pihaknya akan menaikkan kira-kira 400 kain rentang mengenai proklamasi darurat di tepi-tepi jalan dan di tempat awam di seluruh negeri dalam masa terdekat.

Darurat yang dilaksanakan ini adalah demi keselamatan rakyat yang terjejas oleh ancaman COVID-19, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button