Berita Utama

Yayasan Ikhlas taja guru agama didik penduduk Pulau Danawan, Semporna

100 keluarga miskin tegar terima pek mmakanan, hadiah telekung

BANGI, 5 Rejab 1442H, Rabu – Yayasan Ikhlas, sebuah pertubuhan peduli dan prihatin menaja seorang guru agama yang tinggal di Pulau Danawan, Semporna bagi mendidik masyarakat khususnya suku Bajau Laut mengenai Islam untuk jangka panjang.

Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, usaha pihaknya itu hanyalah kecil berbanding dengan keperluan sebenar di lapangan.

Beliau berkata, sebaiknya dakwah di kawasan yang jauh dan terpencil seperti itu mesti dilaksanakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, agensi kerajaan dan pihak berautoriti seperti Majlis Agama Islam serta Jabatan Mufti.

“Ada lebih 20 buah pulau yang letaknya di sekitar perairan Semporna seperti pulau Tatagan, Maiga, Mabul, Danawan dan lain-lain lagi.

“Kebanyakan pulau-pulau ini diduduki oleh suku Bajau Laut sama ada di darat mahu pun di laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Zainur Rashid berkata, agama Islam sebenarnya telah sampai ke pulau-pulau berkenaan sejak sekian lama.

Bahkan, sudah ada surau dan pendakwah – sama ada yang bermastautin di kebanyakan pulau mahupun kunjungan secara berkala.

“Ada juga yang mempunyai masjid dan sekolah. Ramai di kalangan mereka yang pagan dan ramai juga yang memeluk Islam beberapa kali, bergantung siapa untuk memberi sumbangan bantuan,” katanya.

Menerusi Misi Pek Ikhlas di Semporna, beliau berkata, sebanyak 100 keluarga miskin tegar di Pulau Danawan menerima sumbangan makanan dan hadiah telekung.

Misi Pek Ikhlas keempat di Semporna, Tawau dan Lahad Datu membabitkan pengagihan 7,000 pek bantuan berjumlah RM1.4 juta yang bermula sejak 12 Februari hingga 18 Februari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button