Berita UtamaPendapat

Bahaya salah guna methamphetamine

Penagih akan berasa gelisah, teruja, bersikap agresif

PADA 11 Februari 2021, kita dikejutkan dengan kes seorang bapa tiri yang ditahan kerana menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun di Gemas.

Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Hospital Tuanku Jaafar, Seremban mendapati terdapat kesan lebam di pergelangan tangan dan kaki di sebelah kiri dan kanan serta tiga batang tulang rusuk di sebelah kiri telah patah.

Terdapat juga kesan gigitan gigi dewasa di tangan kanan, bahu kanan dan pergelangan tangan kanan kanak-kanak malang ini, yang disahkan oleh pakar gigi di Hospital Kuala Kuala Lumpur.

Punca kematian kanak-kanak perempuan ini disahkan oleh doktor forensik akibat kecederaan di kepala oleh objek tumpul.

Suspek iaitu bapa tiri mangsa didapati positif dadah jenis methamphetamine dan juga mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau serta kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 16 Februari.

Kes ini disiasat ketika ini di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu

31. (1) Mana-mana orang, yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak— (a) yang menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian; atau (b) yang menganiayai dari segi seks kanak-kanak itu atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai sedemikian, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Meskipun kes ini di bawah siasatan, saya ingin menarik perhatian berkenaan kesan penyalahgunaan methamphetamine, iaitu dadah yang yang diambil oleh suspek.

Ini bukan pertama kali di Malaysia di mana suspek kes jenayah yang menyebabkan kematian disahkan positif methamphetamine.

Malaysia juga pernah dikejutkan dengan beberapa kes lain, antaranya pada tahun 2020, seorang cucu yang positif methamphetamine membunuh neneknya di Kuching disebabkan neneknya enggan memberikannya duit.

Manakala pada 2018, seorang penyelenggara yang positif metamphetamine dan ganja telah menetak tiga orang adik beradik di Teluk Intan hingga mati.

Selain itu, seorang suspek yang positif dadah methamphetamine telah membunuh seorang wanita Indonesia ketika wanita itu membersihkan rumah ayahnya di Perak pada tahun 2017 serta beberapa lagi kes lain.

Methamphetamine adalah sejenis dadah sintetik yang turut dikenali sebagai syabu, crystal meth, speed dan ice serta mudah larut dalam air atau alkohol.

Methamphetamine juga adalah sejenis dadah kuat yang merangsang otak dan menyebabkan peningkatan perembesan hormon dopamin.

Statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan pada Januari hingga Jun 2020 menunjukkan 60.3 peratus penyalahguna dan penagih dadah di Malaysia, iaitu seramai 57,587 orang menggunakan dadah jenis amphetamine seperti methamphetamine crystalline atau methamphetamine tablet.

Pengambilan methamphetamine pada awalnya akan menyebabkan perasaan gembira berlebihan (euphoria), rasa lebih bertenaga serta kurang rasa penat atau mengantuk.

Walaupun begitu, pengambilan dadah sintetik ini secara berterusan mengakibatkan ketagihan dan mengganggu sistem saraf otak manusia, di mana penagih semakin sukar mendapat rasa ‘euphoria’ dan ‘high’.

Ini menyebabkan penagih perlu mengambil dos yang lebih tinggi untuk mendapatkan kesan yang sama.

Akibat pengaruh yang methamphetamine kuat pada otak, penagih kemudian akan berasa gelisah, terlalu teruja, cepat marah serta agresif atau bersikap ganas.

Methamphetamine mengganggu kemampuan berfikir secara waras yang menyebabkan penagih mudah terlibat dalam perbuatan berisiko tinggi seperti jenayah ataupun perlakuan seks yang berbahaya.

Penagih juga boleh mendapat kesan psikosis seperti delusi (mempercayai perkara yang tidak wujud), paranoia, depresi, serta hilang pertimbangan.

Apabila dos yang diambil terlalu tinggi, penagih dadah ini boleh mengalami suhu badan yang terlalu tinggi, sawan, serangan jantung dan boleh membawa maut.

Kes penyalahgunaan dadah seperti methamphetamine perlu dibendung dengan segera sebelum ia mengakibatkan kesan yang teruk kepada individu tersebut atau masyarakat.

Sebarang aduan berkenaan aktiviti penyalahgunaan atau penagihan dadah boleh disalurkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melalui 6 cara, iaitu:

Sumber: https://www.adk.gov.my/penguatkuasaan-dan-keselamatan-faq/

Sebarang aduan ke AADK akan mengambil masa selama tiga hari waktu bekerja untuk menerima maklum balas.

Maklumat serta identiti pengadu akan dirahsiakan oleh AADK seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Malaysia.

Penagih dadah yang diadu akan diambil tindakan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sama-sama kita memerangi penyalahgunaan dan penagihan dadah.

Aisya Nabilah binti Abd Rahman
Ahli Farmasi
Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Rujukan:
1) https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bapa-tiri-ditahan-dera-kanakkanak-perempuan-4-tahun-hingga-mati-282696
2) https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/10/335544/suspek-bunuh-positif-dadah
3)https://www.astroawani.com/berita-malaysia/suspek-tetak-mati-tiga-beradik-disahkan-positif-dadah-polis-175807
4) https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Dokumen/Akta/Akta%20Kanak-Kanak%202001.pdf
5) https://www.drugabuse.gov/publications/research-reports/methamphetamine/what-methamphetamine
6) https://medlineplus.gov/methamphetamine.html
7) https://www.bharian.com.my/kolumnis/2016/08/187901/kesan-simptom-awal-boleh-elak-kejadian-negatif
8) https://jpet.aspetjournals.org/content/362/3/474
9) https://www.addictioncenter.com/drugs/meth/symptoms-signs/
10) https://www.adk.gov.my/wp-content/uploads/BM-Version.jpg
11) https://www.adk.gov.my/penguatkuasaan-dan-keselamatan-faq/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button