Dunia

Myanmar tutup semua sekolah esok, kes COVID-19 naik mendadak

Langkah babit 408 sekolah kerajaan, 189 sekolah swasta

NAYPYITAW, 7 Muharram 1442H, Rabu – Kerajaan Myanmar menutup sementara semua sekolah menengah di negara itu, berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan tempatan COVID-19.

Kesemua sekolah menengah untuk sesi akademik bagi 2020-2021 akan ditutup sementara waktu mulai esok, kata Ketua Pengarah Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Myanmar, Dr Tin Maung Win hari ini. 

“Jawatankuasa Pusat Pencegahan Pengendalian dan Rawatan COVID-19 di peringkat kebangsaan telah mengarahkan kerajaan negeri dan negara serta Kementerian Pendidikan untuk menutup semua sekolah menengah berikutan keadaan semasa wabak,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan COVID-19, sebanyak 408 sekolah menengah kerajaan dan 189 sekolah swasta di wilayah Yangon akan ditutup mulai esok, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yangon, Naing Ngan Lin.

“Kami diarahkan untuk bertindak bagi mengawal penularan COVID-19 secara berkesan dan belum ada makluman mengenai berapa lama perintah itu dikuatkuasakan,” katanya. 

Sejak 21 Julai hingga 21 Ogos lalu, sebanyak 6,526 daripada 7,173 sekolah menengah dibuka semula di seluruh negara, menurut data kementerian baru-baru ini. 

Sesi akademik Myanmar biasanya bermula pada Jun, namun penggal tahun ini ditangguhkan akibat wabak COVID-19. 

Setakat hari ini sahaja, Myanmar merekodkan peningkatan kes tempatan dengan 70 kes dilaporkan, menjadikan keseluruhan kepada 574 kes. 

Wabak pandemik berkenaan dikesan pertama kali di Myanmar pada 23 Mac lalu, dan hanya enam kematian direkodkan setakat ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button