Berita Utama

Pengasas Sugarbook bebas tanpa reman

Peguam dakwa semua maklumat boleh diperolehi menerusi aplikasi

SHAH ALAM, 6 Rejab 1442H, Khamis – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan reman ke atas pengasas aplikasi Sugarbook berhubung dakwaan laman itu digunakan untuk mempromosi gaya hidup tidak bermoral.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norasyikin Sahat menolak permohonan reman berkenaan selepas lelaki berusia 34 tahun terbabit sedia bekerjasama dengan pihak polis dalam siasatan yang akan dijalankan.

Lelaki terbabit diwakili tiga peguam iaitu Foong Cheng Leong, T. Shashi Devan dan Low Li Qun.

Shashi Devan dilaporkan berkata, hujahnya dalam prosiding adalah keperluan reman tidak diperlukan berikutan semua maklumat boleh diperolehi menerusi aplikasi berkenaan di dalam talian.

“Tambahan, aplikasi tersebut juga telah disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan tidak memerlukan reman,” katanya seperti dilapor Kosmo!, hari ini.

Terdahulu, polis menahan lelaki terbabit yang berasal dari Gelugor, Pulau Pinang jam 4.30 petang semalam, di sebuah kondominium di ibu negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, lelaki terbabit juga disiasat mengikut Seksyen 372 (1)(d) Kanun Keseksaan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.

Aplikasi berkenaan didakwa menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.

Lebih mengejutkan ramai pihak apabila Sugarbook melaporkan pendaftaran pelajar sehingga 40 peratus untuk menjadi ‘sugar baby’ sejak Januari lalu, atas alasan kononnya krisis kewangan yang dialami.

Ia juga mendedahkan seramai 12,705 pelajar terdiri daripada penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Lembah Klang, termasuk dua universiti awam, berdaftar dengan platform itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button