Uncategorized

Pengasas Sugarbook ditahan semula berkait kes rogol, pelacuran

Kejadian berlaku di Subang Jaya pada 19 Februari 2019

BANGI, 6 Rejab 1442H, Khamis – Pengasas aplikasi Sugarbook yang dibebaskan tanpa reman petang tadi, kini ditahan semula bagi membantu siasatan kes rogol dan kegiatan pelacuran.

Penahanan dibuat selepas pihak polis menerima laporan oleh seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kejadian berlaku di Subang Jaya pada 19 Februari 2019.

“Justeru, suspek ditahan bagi membantu kes yang disiasat dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol dan Seksyen 372 kanun sama (kesalahan terbabit dalam kegiatan pelacuran),” katanya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak permohonan reman ke atas suspek berhubung dakwaan laman itu digunakan untuk mempromosi gaya hidup tidak bermoral.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norasyikin Sahat dilaporkan menolak permohonan reman berkenaan selepas lelaki berusia 34 tahun terbabit sedia bekerjasama dengan pihak polis dalam siasatan yang akan dijalankan.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.

Aplikasi berkenaan didakwa menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.

Lebih mengejutkan ramai pihak apabila Sugarbook melaporkan pendaftaran pelajar sehingga 40 peratus untuk menjadi ‘sugar baby’ sejak Januari lalu, atas alasan kononnya krisis kewangan yang dialami.

Ia juga mendedahkan seramai 12,705 pelajar terdiri daripada penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Lembah Klang, termasuk dua universiti awam, berdaftar dengan platform itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button