Berita Utama

Pengasas Sugarbook ditahan

Permohonan reman ke atas suspek hari ini di Mahkamah Shah Alam

KUALA LUMPUR, 6 Rejab 1442H, Khamis – Polis menahan pengasas aplikasi laman sesawang dan aplikasi Sugarbook – yang didakwa mempromosikan gaya hidup tidak bermoral.

Suspek berusia 34 tahun dan berasal dari Gelugor, Pulau Pinang ditahan jam 4.30 petang, di ibu negara semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, permohonan reman ke atas suspek dibuat hari ini di Mahkamah Shah Alam.

Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku sebagai pengasas aplikasi Sugarbook.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Selain itu, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 372(1)(d) Kanun Keseksaan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan,” katanya seperti dilapor media tempatan. 

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.

Aplikasi berkenaan didakwa menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.

Lebih mengejutkan ramai pihak apabila Sugarbook melaporkan pendaftaran pelajar sehingga 40 peratus untuk menjadi ‘sugar baby’ sejak Januari lalu, atas alasan kononnya krisis kewangan yang dialami.

Ia juga mendedahkan seramai 12,705 pelajar terdiri daripada penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Lembah Klang, termasuk dua universiti awam, berdaftar dengan platform itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button