Berita Utama

Polis tahan 11 individu godam sistem komputer kerajaan

Suspek turut disyaki terbabit ceroboh sistem Johor, Sabah, MITI

BANGI, 6 Rejab 1442H, Khamis – 11 individu ditahan susulan terbabit dalam aktiviti menggodam sistem komputer kerajaan dalam tujuh serbuan, semalam.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dilaporkan melakukan serbuan di seluruh negara selepas risikan dan intipan sejak seminggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahan dan antara yang ditahan adalah pentadbir akaun Facebook Anonymous Malaysia.

“Tangkapan dibuat ekoran ugutan dan ancaman oleh kumpulan berkenaan untuk menggodam sistem komputer kerajaan sejak beberapa tahun lalu.

“Pada masa ini pihak polis masih lagi dalam proses menjalankan siasatan dengan lebih lanjut untuk mengenal pasti saki-baki suspek lain sebelum proses tangkapan susulan dilakukan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Acryl Sani berkata, semua suspek yang ditahan disyaki menjalankan serangan siber terancang ke atas laman web kerajaan dan swasta.

“Siasatan kita setakat ini tidak menolak kemungkinan 17 laman web yang sudah diceroboh,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan maklumat yang diperoleh, suspek yang ditahan turut disyaki terbabit melakukan pencerobohan kepada tiga sistem kerajaan negeri Johor, Sabah dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button