Berita Utama

Rosmah diarah bela diri atas 3 pertuduhan rasuah

Keputusan dibuat selepas pihak pendakwaan berjaya wujud kes prima facie

KUALA LUMPUR, 6 Rejab 1442H, Khamis – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membela diri atas kesemua tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Rosmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Penilaian maksimum terhadap bukti, saya dapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh,” kata hakim.

Hakim Mohamed Zaini berkata, pihak pendakwaan telah berjaya mengemukakan bukti yang boleh dipercayai mengikut elemen di bawah pertuduhan tersebut, jika tidak disangkal atau tidak dijelaskan boleh disabitkan kesalahan.

“Oleh itu, saya mengarahkan tertuduh membela dirinya,” kata hakim.

Rosmah memilih untuk memberi keterangan pembelaan secara bersumpah dari kandang saksi.

Rosmah, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri

Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram sementara peguam Datuk Jagjit Singh mengetuai pasukan pembelaan.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button