Berita Utama

Aidilfitri: Penjawat awam Pahang terima RM1,000

Pemberian bantuan meliputi semua gred babit jumlah RM8 juta: MB

BANGI, 16 Ramadan 1442H, Rabu – Kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri Pahang menerima Bantuan Khas Kewangan RM1,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian bantuan itu meliputi semua gred, membabitkan peruntukan kewangan kira-kira RM8 juta.

Beliau berkata, Pejabat Kewangan Negeri akan segera melakukan urusan susulan supaya pembayaran dapat dibuat pada 7 Mei ini.

“Turut mendapat pemberian ini sebagai sagu hati kerajaan negeri ialah penjawat awam Persekutuan bergred JUSA C dan ke atas, yang berkhidmat di negeri ini.

“Keputusan ini dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang saya pengerusikan, pagi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat berasaskan kemampuan kewangan negeri serta sikap peduli kerajaan terhadap rakyat termasuk dalam kalangan penjawat awam.

“Adalah diharapkan wang pemberian ini dapat digunakan sewajarnya.

“Kepada badan-badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan di negeri ini, saya sarankan agar mereka dapat turut membuat pemberian yang serupa kepada pegawai dan kakitangan masing-masing,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button